PETALING JAYA – Keadaan individu yang berasa sangat penat dan tidak bermaya selepas pulang daripada menghadiri sebuah majlis, meskipun sekadar beramah mesra secara minima, sebenarnya merupakan satu situasi biasa bagi golongan personaliti introvert.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, situasi tersebut dikenali sebagai fenomena ‘bateri sosial’ yang semakin berkurangan akibat interaksi sosial berlebihan.
Menurut PHM, ramai individu introvert sering disalahertikan sebagai sombong, tidak pandai bergaul atau anti-sosial sedangkan mereka hanya memerlukan ruang untuk memulihkan kembali tenaga mental mereka.
“Pernah tak pergi ke satu majlis, cuba senyum, beramah mesra dan melayan perbualan orang sebaik mungkin, tetapi bila balik rumah badan rasa penat sangat seolah-olah baru habis bekerja seharian?
“Bukan kerana tidak suka orang atau sombong, tetapi berada terlalu lama dalam suasana yang ramai, bising dan penuh dengan interaksi boleh menghabiskan tenaga mental dengan cepat,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
PHM menjelaskan bahawa bateri sosial dalam diri golongan ini akan perlahan-lahan semakin berkurangan, menjadikannya penat untuk terus berada dalam ‘mod sosial’ biarpun pada luarannya mereka kelihatan baik.
“Sebab itu selepas satu atau dua jam berada di majlis, ada orang mula rasa mahu duduk diam, mahu balik awal, atau tidak mahu menyambung perbualan terlalu lama.
“Bagi introvert, masa bersendirian bukan bermaksud menjauhkan diri daripada orang lain. Ia adalah cara untuk kembali tenang, menyusun semula fikiran dan mengecas semula tenaga yang sudah banyak digunakan,” katanya.
Sehubungan itu, PHM menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya melabel kawan, pasangan atau ahli keluarga yang cepat penat selepas majlis sebagai individu yang tidak sporting atau anti-social.
“Ada orang semakin bertenaga apabila dikelilingi ramai orang, dan ada orang pula hanya kembali stabil apabila diberi masa untuk bersendirian. Hormati cara setiap orang berehat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














