PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang didakwa warga Singapura berbangga mengisi petrol RON95 di Malaysia sambil mempamerkan pasport negara itu mengundang kecaman hebat dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Threads oleh @Theblackspice pada memaparkan individu berkenaan mengangkat pasport Singapura sebelum kamera menghala ke pam minyak berlabel Premium 95.
Lebih mengundang perhatian apabila dia menyertakan kapsyen yag disifatkan sengaja memancing emosi warganegara Malaysia.
“Cara untuk membuat rakyat Malaysia marah sebagai warga Singapura. Langkah pertama, curi petrol mereka,” katanya.
Perkongsian mencetuskan kemarahan netizen yang menyifatkan perbuatannya bukan sahaja melanggar peraturan, malah seolah-olah berbangga menyalahgunakan subsidi bahan api Malaysia.
Seorang pengguna Threads, @fries.kimchi, menyindir tindakan lelaki itu yang didakwa sanggup mendapatkan petrol bersubsidi di Malaysia kerana tidak mampu membeli bahan api pada harga lebih tinggi di negara sendiri.
“Nak tahu bagaimana mengenali warga Singapura yang miskin? Langkah pertama, mereka tidak mampu membeli petrol di negara sendiri,” katanya.
Sementara itu, pengguna @Mystqueaurora menggesa pihak berkuasa Singapura menyiasat identiti individu di sebalik akaun berkenaan kerana bimbang tindakannya boleh menjejaskan hubungan baik antara rakyat kedua-dua negara.
“Boleh pihak Polis Singapura menyiasat siapakah individu di sebalik akaun ini? Perbuatannya hanya mencetuskan ketegangan yang tidak perlu antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @Loveqsty_, berkata dia tidak berasa marah dengan tindakan tersebut, sebaliknya menganggap perbuatan lelaki berkenaan hanya memalukan dirinya sendiri.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya langsung tidak marah. Sebaliknya saya berasa bangga kerana apa yang saya lihat hanyalah seseorang dari negara yang kononnya bertaraf dunia pertama sedang mempamerkan kebodohan sendiri serta menunjukkan betapa dia sebenarnya tidak berkemampuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














