SHAH ALAM – Laluan pejalan kaki sejauh 200 meter di stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Stadium Shah Alam ke lampu isyarat Persiaran Sukan/Persiaran Akuatik di sini, dijangka siap esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi berkata, pembinaan laluan menghubungkan ke Aeon Mall di sepanjang Persiaran Sukan, Seksyen 13 itu sedang giat dilaksanakan.
“Untuk makluman, pembinaan laluan pejalan kaki di Stesen LRT Stadium Shah Alam itu dijangka akan siap sepenuhnya esok.
“Saya dimaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meneruskan kerja pembinaan laluan di sepanjang Persiaran Akuatik pula pada Selasa ini,” katanya ringkas hari ini.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan tular video memaparkan keluhan pengguna mengenai kemudahan pejalan kaki dan lintasan zebra yang belum lengkap di Stesen LRT3 Stadium Shah Alam dan Stesen Dato’ Menteri.
Justeru, kerajaan Selangor mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pemaju menyegerakan kerja penambahbaikan kemudahan infrastruktur di sekitar stesen LRT3 Laluan Shah Alam susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna.
MBSA turut memberi jaminan penyediaan laluan pejalan kaki sejauh 200 meter itu akan segera disiapkan dalam tempoh sebulan. – KOSMO! ONLINE














