KUALA PILAH – Sepasang kekasih yang mencuri barang kemas dalam kedai emas di Pekan Kuala Pilah, 8 April lalu dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Efendi Sanusi Gunarto, 24, dan Nur Sabrina Khairul, 22, mengekalkan pengakuan bersalah yang dibuat di Mahkamah Sesyen di sini pada 18 April lalu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka pada pukul 3.45 petang, 8 April lalu bertempat di Kedai Emas Pilah mencuri seutas gelang tangan emas jenis Dunhill seberat 36.76 gram milik premis berkenaan.
Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Berita berkaitan: Wanita larikan 36 gram gelang emas diburu
Sabit kesalahan, pasangan itu boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sekiranya bagi kesalahan kali kedua, boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE.