TANGKAP layar rakaman video CTI diperoleh AFPTV hari ini menunjukkan Alice Huang (belakang) menghadiri majlis makan malam bersama Jensen Huang (kanan) di sebuah restoran di Taipei pada 22 Mei 2025. – AFP

Siapa wanita didakwa kekasih gelap lelaki kelapan terkaya dunia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HANOI – Alice Huang yang merupakan usahawan wanita China dan  didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia,  Jensen Huang, pernah bekerja sebagai wartawan  televisyen sebelum menjadi eksekutif syarikat pusat data berpangkalan di Singapura, lapor laman berita VNExpress.

Huang yang tersenarai orang kelapan terkaya dunia menurut majalah Forbes, mengaku mempunyai hubungan sulit dalam e-mel kepada pekerja syarikatnya semalam.

Laporan sulit Amerika Syarikat(AS) beberapa bulan lalu memberi amaran bahawa wanita yang didakwa kekasih gelap Huang itu  adalah seorang perisik  China, demikian menurut akhbar The New York Times.

Gambar-gambar yang dimuat naik secara online pada Jun 2024 menunjukkan mereka berdua berada di sebuah bar di Taipei  selepas satu pameran teknologi tempatan. Mereka dilaporkan minum wiski bersama tokoh-tokoh terkemuka lain dalam industri AI.

Huang dan Alice dilihat bersama sekali lagi pada Mei 2025, meninggalkan sebuah restoran di Taipei selepas makan malam perniagaan bersama pembekal AI. 

Klip video berkaitan menunjukkan Alice tersenyum lebar beberapa langkah di belakang CEO Nvidia itu semasa beliau bergurau dengan wartawan tempatan.

Alice dilaporkan pernah bekerja sebagai wartawan televisyen di China sebelum menjadi eksekutif kanan Megaspeed, sebuah syarikat pusat data berpangkalan di Singapura. Megaspeed adalah salah satu pelanggan terbesar Nvidia di rantau Asia Tenggara.

Wanita cantik  yang merupakan warganegara China dan turut dikenali sebagai Huang Le itu  digambarkan sebagai  fasih berbahasa Inggeris dan mempunyai hubungan dengan beberapa eksekutif dalam industri cip AI.

Dia  dilaporkan memulakan kerjayanya dalam bidang televisyen dengan  bekerja di Hunan TV dan China Central Television.

Pangkalan data merangkumi dana pelaburan swasta China (CCTV Simuwang)  menyenaraikan profil mengenal pasti  wanita bernama Huang Le yang merupakan seorang  pengurus dana dan CEO Hexi Capital iaitu firma pengurusan pelaburan berpangkalan di Shanghai.

Gambar profil tersebut menunjukkan seorang wanita tersenyum memakai gaun merah. Wajahnya sepadan dengan individu yang bergambar bersama Jensen Huang.

Profil itu menyatakan, dia menghabiskan empat tahun dalam bidang media dan lapan tahun dalam industri keselamatan.

Peranannya sebelum ini termasuk ‘wartawan di Hunan TV dan CCTV, pembantu kepada pengerusi bahagian perbankan swasta HSBC dan naib presiden yang bertanggungjawab bagi perniagaan sekuriti di CITIC Securities’.

“Saya tidak pernah mendengar tentangnya (Alice).

“Jika seseorang benar-benar bekerja untuk Hunan TV sebagai wartawan, anda boleh melihat nama atau profil mereka dengan mudah di laman web syarikat,” kata seorang eksekutif di Hunan TV yang enggan namanya didedahkan  kepada The New York Post. 

Alice kemudiannya bekerja untuk Megaspeed dari Mac hingga November 2023. 

Fail syarikat pada mulanya menyenaraikan dia sebagai CEO tetapi kemudian mengeluarkan namanya daripada peranan tersebut. Rekod perniagaan menunjukkan bahawa pengarah semasa Megaspeed ialah seorang warga Singapura yang baru-baru ini menetap di Shanghai.

Seorang pekerja Megaspeed berkata pada Mei lalu bahawa Huang masih mempunyai pengaruh besar dan merupakan salah seorang daripada tiga individu paling berkuasa di syarikat itu.

Megaspeed membeli cip Nvidia bernilai lebih  US$4.8 bilion (RM19.4 bilion) sejak dua tahun lalu. Syarikat itu bermula sebagai cawangan Singapura bagi 7Road, sebuah syarikat permainan dalam talian China.

Ia berpisah pada tahun 2023, membina pusat data di Asia Tenggara dan mula menyewakan pengkomputeran kepada konglomerat Alibaba Group dari China. 

Pengaturan itu boleh memberikan China akses tidak langsung kepada cip canggih Nvidia yang tertakluk kepada sekatan eksport AS.

Pengawasan elektronik AS mengenal pasti CEO Nvidia itu sebagai salah seorang kenalan Alice. Namun tiada bukti untuk mengesahkan bahawa Huang mengetahui tentang dakwaan aktiviti pengintipan Alice.

Washington  telah menyiasat sama ada Megaspeed membantu syarikat China mengelak sekatan eksport AS  dengan menyeludup cip Nvidia ke China. 

Kerajaan AS telah melarang Nvidia daripada menjual cip paling canggihnya   kepada syarikat China selama bertahun-tahun.

Megaspeed pula disyaki bertindak sebagai perantara, membeli cip Nvidia melalui cawangan AS iaitu   pengeluar pelayan China Inspur dan menyewakan kuasa pengkomputeran pusat datanya di Asia Tenggara kepada syarikat China. 

Washington telah meletakkan syarikat induk Inspur dalam senarai hitam kerana dituduh membekalkan teknologi kepada tentera China. Anak syarikatnya di AS bagaimanapun kekal bebas daripada sekatan.

Nvidia ialah syarikat dagangan awam paling bernilai di dunia, dengan modal pasaran kira-kira AS$5.2 trilion (RM21 trilion). Cip canggih syarikat itu memacu lonjakan AI, memberikan Huang pengaruh besar di Lembah Silikon.

 AS  berusaha untuk Nvidia menafikan dakwaan  bahawa urusan Jensen dengan Alice adalah mencurigakan dan menggambarkan Megaspeed sebagai pelanggan awan rasmi yang tipikal.

“Interaksi Huang dengan Alice bukannya sesuatu yang luar biasa atau tidak dijangka,” kata seorang jurucakap Nvidia kepada New York Post.

“Mesyuarat bersama pelanggan adalah sebahagian daripada tugas CEO, manakala Huang  bercakap dengan ribuan eksekutif pelanggan setiap tahun,” tambahnya.

Nvidia juga menolak dakwaan bahawa teknologinya telah dilencongkan melalui Megaspeed, dengan menyatakan,  dakwaan tersebut ‘disiasat sepenuhnya dan dibuktikan tidak benar pada tahun lepas.’

Jensen berkahwin dengan Lori Mills Huang  yang ditemuinya semasa menuntut dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Negeri Oregon. 

Pasangan  itu mempunyai dua orang anak, Spencer dan Madison yang kedua-duanya bekerja di Nvidia.

“Tindakan saya menyakiti hati beliau (isteri) dan anak-anak kami,” kata  Jensen dalam e-melnya yang dihantar kepada kakitangan Nvidia. 

“Tiada alasan bagi apa yang telah saya lakukan. Saya benar-benar  memohon maaf,” tambahnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN