GAZA – Di sebalik runtuhan bangunan yang musnah dan deretan khemah pelarian, ratusan rakyat Palestin di Gaza berhimpun bagi meraikan majlis perkahwinan beramai-ramai membabitkan 250 pasangan pengantin, pada kelmarin lapor stesen penyiaran BBC.
Majlis bersejarah tersebut dianjurkan di bawah misi kemanusiaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Operation Gallant Knight 3.Â
Acara berkenaan menghimpunkan pengantin dari segenap pelosok Gaza sebagai simbol cinta, harapan, dan lembaran baharu kehidupan di wilayah yang terus berdepan kepungan itu.
Walaupun perjanjian gencatan senjata dilaporkan mula berkuat kuasa di Gaza pada Oktober tahun lalu, ancaman serangan udara Israel didakwa masih berterusan hampir setiap hari.
Perang di Gaza mula tercetus susulan serangan pejuang yang diketuai Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyaksikan 251 yang lain dijadikan tebusan.
Israel kemudiannya bertindak balas dengan melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di seluruh wilayah berkenaan, yang kini telah mengorbankan lebih 74,640 rakyat Palestin, menurut angka terkini kementerian kesihatan wilayah itu. – AGENSI
















