Gambar hiasan.

[VIDEO] Banjir Nepal: Rakyat Malaysia cemas cari ahli keluarga terputus hubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keluarga dan kenalan rakyat Malaysia yang berada di Nepal kini dilanda kebimbangan apabila usaha menghubungi mereka masih belum berhasil setakat ini susulan banjir kilat dahsyat yang melanda negara itu sejak semalam.

Menerusi media sosial, beberapa individu tampil berkongsi kebimbangan mengenai ahli keluarga dan rakan mereka yang dipercayai berada di kawasan terjejas.

Seorang pengguna Threads, @syu_islamiah memohon doa orang ramai buat rakannya bersama sekumpulan rakyat Malaysia yang dipercayai berada berhampiran sempadan Nepal dalam perjalanan menuju ke Tibet.

“Mohon doakan rakan saya dan team Malaysia yang di sempadan Nepal menuju ke Tibet selamat dan dipermudahkan urusan mereka di sana,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna @isfarrina berkata, adiknya kini berada di Nepal dan dipercayai menyertai ekspedisi ke Annapurna.

Menurutnya, walaupun nama adiknya tidak tersenarai sebagai individu hilang selepas beliau menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Nepal, usaha menghubungi ahli keluarganya itu masih belum berjaya dipercayai akibat masalah rangkaian telekomunikasi.

“Doakan adik saya yang berada di Nepal sekarang selamat. Saya memang tak tahu dia pergi dengan travel apa tetapi dia ikut serta trip pergi Annapurna.

“Tapi alhamdulillah, dah hubungi kedutaan di sana, nama dia memang tak ada dalam senarai hilang cuma sampai sekarang masih tak dapat dihubungi sebab kat sana memang line (rangkaian) tengah bermasalah,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna @yayayusof cuba menenangkan wanita berkenaan dengan memaklumkan bahawa kawasan Annapurna Base Camp (ABC) dipercayai terletak jauh dari lokasi banjir.

“Allahuakbar Isfa. Tengok tadi kawan post (muat naik hantaran) lalun ABC jauh dari tempat banjir, mungkin line (rangkaian) terputus semua. Doa semua baik-baik saja,” katanya.

Seorang lagi pengguna @eijaztihani, turut berkongsi bahawa adiknya yang dalam perjalanan ke kawasan ABC sempat menghubungi ibunya selepas kejadian itu dan memaklumkan dirinya berada dalam keadaan selamat.

“Adik saya pun dalam perjalanan ke ABC sekarang, dia ada hubungi ibu saya selepas kejadian (banjir kilat) tu, dia kata dia okey. Insya-Allah adik awak pun okey,” katanya.

Kebimbangan rakyat Malaysia itu timbul selepas sekurang-kurangnya 17 rakyat negara ini dilaporkan antara ratusan warga asing yang hilang susulan banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan teruk di daerah Rasuwa, Nepal.

Menurut Lembaga Pelancongan Nepal, urusan perjalanan rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang itu diuruskan oleh agensi pelancongan Fishtail Tours and Travels.

Sekurang-kurangnya 291 warga asing dan 93 warga Nepal dilaporkan tidak dapat dihubungi, manakala polis serta pengendali pelancongan sedang berusaha mengesan mereka.

Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan, 11 warganegara Malaysia yang dipercayai berada di daerah Rasuwa dilaporkan terputus hubungan susulan banjir berkenaan.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan, manakala pasukan mencari dan menyelamat telah dikerah bagi mengesan rakyat Malaysia yang terjejas serta memastikan keselamatan mereka.

Banjir akibat limpahan Sungai Bhote Koshi dilaporkan menghanyutkan banyak kampung serta memusnahkan jalan raya, bangunan dan projek hidrokuasa di kawasan Rasuwagadhi-Timure. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN