KLUANG – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson tanpa kebenaran sah, awal bulan ini.
Tertuduh, How Han Wei, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.
Tertuduh yang tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi menggelengkan kepala sebagai tanda tidak mengaku salah selepas mengangguk faham terhadap pertuduhan.
Mengikut kertas pertuduhan, Han Wei didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson tanpa kebenaran yang sah kira-kira pukul 6.30 petang pada 6 Ogos lalu. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Indah 2/10, Taman Kluang Indah, di sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin. Tertuduh pula diwakili peguam bela, Yvonne Kee.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.-KOSMO! ONLINE














