KUALA LUMPUR – Pembekalan baja urea (46%N) kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dijangka bermula 15 Julai ini selepas proses tender semula dilaksanakan susulan kegagalan pembida yang berjaya mengembalikan Surat Setuju Terima (SST) dalam tempoh ditetapkan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, kementerian memandang serius kelewatan pembekalan baja itu dan telah mengarahkan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan jadual penanaman padi tidak terjejas.
“Sehingga 29 Jun lalu, sebanyak 840,295 beg atau 76 peratus daripada keperluan keseluruhan 1,105,873 beg Baja Sebatian Padi 1 telah diterima di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mada.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 705,847 beg atau 84 peratus telah diagihkan kepada pesawah. Pihak pembekal memberi komitmen untuk menyelesaikan pembekalan Baja Sebatian Padi 1 selewat-lewatnya pada 15 Julai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Abd. Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai kelewatan pembekalan baja dan racun kepada pesawah.
Mengulas mengenai Baja Sebatian Tambahan Padi 3, Foong Hin berkata, setakat 29 Jun lalu hanya 37,560 beg atau enam peratus daripada keperluan keseluruhan 616,015 beg telah diterima, manakala 30,799 beg sudah diagihkan kepada pesawah.
“Kelewatan itu menyebabkan defisit bekalan dianggarkan sebanyak 160,000 beg dan Mada kini menyelaras dengan pembekal bagi mempercepatkan penghantaran supaya pembekalan dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum 30 Julai ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Foong Hin berkata, kerajaan turut membantu petani yang mengalami kerugian akibat serangan hidupan liar menerusi Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT).
Katanya, pada tahun lalu bantuan BKHT berjumlah RM396,000 diluluskan kepada 131 petani membabitkan anggaran kerugian RM808,000, manakala sehingga Mei tahun ini sebanyak RM300,000 bantuan diperakukan kepada 25 petani dengan anggaran kerugian RM649,000. – KOSMO! ONLINE.














