KLUANG – Analisis-analisis yang tidak berpijak di bumi nyata hanya boleh didengar namun tidak perlu dipercayai mereka hanya membuat teori didalam bilik dingin dan bukannya turun padang menyaksikan suasana sebelah.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, mereka yang mengeluarkan analisis kononnya Barisan Nasional hanya mampu mendapat 35 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 ini secara hakikatnya tidak mempunyai data yang sebenar dan melakukannya berlandaskan media sosial semata-mata.
“Saya pun boleh kata bahawa BN akan dapat memperolehi lebih 45 kerusi kerana saya menyaksikan sendiri penerimaan pengundi kepada setiap calon bertanding dan ia diperolehi dengan turun padang disetiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ini.
“Kalau mengikut teori di DUN Layang-Layang ini, saya lebih percaya dengan usaha dilakukan kemenangan akan menjadi bilik BN dan mengekalkan sasaran 40 kerusi keatas akan tercapai,” katanya kepada pemberit selepas menyertai program Godak Bubur Lambuk dan Ziarah Kasih di Kampung Seri Pekan di Layang-Layang di sini hari ini.
Menurut Ahmad Maslan lagi, keputusan meletakkan calon MCA di Layang-Layang dilakukan adalah berlandaskan jumlah kaum yang terdapat didalam Parlimen Simpang Renggam iaitu satu pertiga daripada kira-kira 59,000 pengundi. – KOSMO! ONLINE














