fbpx
Tangkap layar video yang dimuat naik oleh Datuk Hishamuddin Hashim di akaun TikTok miliknya.

[VIDEO] ‘Mereka paksa buka 4 akaun, dalam bank ada RM2.4 juta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Niat seorang lelaki untuk mencari duit dengan bekerja sebagai ejen khidmat pelanggan bertukar menjadi mimpi ngeri selepas didakwa menjadi keldai akaun oleh sindiket penipuan melibatkan transaksi mencecah RM2 juta.

Modus operandi sindiket tersebut terbongkar menerusi satu hantaran video yang dimuat naik oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim di akaun TikTok miliknya.

Menurut mangsa, segalanya bermula apabila dia ditawarkan tawaran bekerja dari rumah sebagai ejen khidmat pelanggan dengan kemudahan penginapan inap desa (homestay) serta makanan yang disediakan oleh pihak majikan.

“Selepas itu, mereka menyuruh saya membuka akaun bank atas alasan untuk kemasukan gaji. Bagaimanapun, proses itu dikatakan gagal (tak lulus), menyebabkan saya diminta membuka akaun lain berulang kali sehingga berjaya.

“Secara keseluruhan, saya telah membuka empat akaun bank berbeza, selain diarahkan untuk mendaftarkan kad SIM serta pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya dalam video tersebut.

Katanya, dia mula berasa curiga selepas mendapati akaun syarikat yang didaftarkan atas namanya itu merekodkan jumlah transaksi mencurigakan dianggarkan mencecah RM2.4 juta.

Ujarnya, lebih membimbangkan, akaun syarikat tersebut sukar ditutup berbanding akaun peribadi kerana melibatkan pendaftaran entiti Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.).

Sementara itu, Hishamuddin menjelaskan, tindakan sindiket tersebut dengan jelas menunjukkan mangsa telah dijadikan sebagai ‘keldai akaun’ bagi pihak syarikat yang tidak wujud.

“Nama dan akaun anda telah digunakan oleh sebuah syarikat untuk menjadi keldai akaun. Apa yang akan berlaku selepas ini, mangsa-mangsa yang terkena penipuan (scam) seperti sindiket pelaburan palsu serta penipuan mata wang asing (forex) dan kripto akan membuat laporan polis terhadap syarikat yang menggunakan nama anda,” jelasnya.

Keadaan itu mendorong MHO mengadakan satu sidang media khas Khamis ini bagi membincangkan persoalan sama ada pemilik akaun yang terpedaya harus dilabel sebagai mangsa sindiket atau mangsa sistem. – KOSMO! ONLINE

@ihishamuddinhashim Kerja Impian Bertukar Mimpi Ngeri, Terlibat Kes RM2 Juta Tanpa Sedar. #jobscamalert #jobscamawareness #keldaiakaun #muleaccount ♬ original sound – Hishamuddin Hashim

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN