KUALA LUMPUR – Pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah program Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) berjaya mengurangkan lebih 30 peratus aduan konflik manusia dan gajah di Johor.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, penurunan itu membuktikan pendekatan dilaksanakan kerajaan menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), termasuk translokasi gajah dan penglibatan komuniti setempat, mula menunjukkan hasil yang positif.
“Pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah EFT ini telah menunjukkan impak yang positif dalam mengurangkan konflik manusia dan gajah di Johor.
“Hal ini dapat dilihat melalui penurunan lebih 30 peratus bilangan aduan konflik gajah daripada kira-kira 900 aduan pada tahun 2024 kepada sekitar 600 aduan pada tahun 2025.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak 147 aduan konflik gajah telah direkodkan, sekali gus menunjukkan trend penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai keberkesanan dana tambahan EFT dan program komuniti Perhilitan dalam mengurangkan konflik manusia dan gajah, selain pelan memperluaskan penggunaan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG).
Arthur berkata, bagi tempoh 2025 hingga 2026, kerajaan memperuntukkan RM600,000 di bawah dana EFT bagi memperkukuh pengurusan konflik manusia dan gajah menerusi pelbagai inisiatif.
Beliau berkata, antara usaha utama ialah Program Operasi Bersepadu Translokasi Gajah Negeri Johor yang melibatkan lapan kawasan koridor laluan gajah termasuk di daerah Mersing dengan sasaran memindahkan 25 ekor gajah liar ke habitat yang lebih sesuai.
“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 29 ekor gajah liar berjaya ditangkap dan dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai.
“Selain itu, sebanyak RM900,000 lagi dana EFT digunakan bagi melaksanakan program mitigasi konflik manusia dan hidupan liar di bawah Pelan Hala Tuju Strategik Desa Negeri Johor, termasuk penubuhan dan pemerkasaan Komuniti Pelindung Hidupan Liar (KPHL) di lima kampung di negeri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kementerian turut merancang memperluaskan penggunaan SPEG menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMk13) bagi meningkatkan perlindungan di kawasan yang sering berlaku konflik.
“Di bawah RMK13, kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi pembangunan halangan fizikal, pemasangan dan naik taraf SPEG serta penyediaan peralatan mitigasi pengurusan gajah di kawasan konflik serius.
“Peruntukan itu turut meliputi kerja penyelenggaraan dan pembaikan 17 sistem SPEG di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.- KOSMO! ONLINE














