KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi kerjasama strategik dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membolehkan lebih ramai pesakit Cerebral Palsy (CP) mendapat akses kepada rawatan rehabilitasi berteknologi tinggi, termasuk neuro-robotik dan sibernik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama itu sedang diteliti oleh Bahagian Amalan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan serta Penasihat Undang-Undang (PUU) KKM bagi memperincikan beberapa aspek sebelum ia dapat dilaksanakan.
“Perkara yang sedang diperhalusi melibatkan mekanisme pembayaran, kebolehlaksanaan pelaksanaan Health Sector Outsourcing Programme (HSOP) di fasiliti Perkeso, isu indemniti serta mendapatkan pandangan lanjut daripada PUU Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
“Usaha ini penting bagi membolehkan kerjasama antara KKM dan Perkeso direalisasikan demi memperluaskan akses pesakit kepada perkhidmatan rehabilitasi yang lebih canggih,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai inisiatif dan bantuan kepada kanak-kanak yang mengalami CP serta perancangan kerajaan untuk meningkatkan sokongan kepada mereka dan keluarga.
Menurut beliau, Pusat Rehabilitasi Perkeso diiktiraf sebagai Centre of Excellence dalam bidang rehabilitasi neuro-robotik dan sibernik yang menggunakan teknologi terkini bagi meningkatkan keberkesanan rawatan dan pemulihan pesakit.
Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat), beliau berkata, KKM menyambut baik cadangan supaya perhatian lebih diberikan kepada pesakit CP yang berada pada tahap ringan (mild cerebral palsy) kerana mereka mempunyai potensi besar untuk hidup berdikari.
“Golongan ini perlu diberikan peluang dan sokongan secukupnya supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, memasuki alam pekerjaan serta membina keluarga sendiri.
“Usaha memperkasa pesakit CP tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek rawatan semata-mata, sebaliknya perlu membuka ruang kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang produktif seperti individu lain,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod KKM, dianggarkan kira-kira 50 peratus pesakit CP mempunyai fungsi kognitif yang normal, sekali gus menunjukkan mereka berpotensi menyumbang kepada masyarakat sekiranya diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya.
Menurut beliau, pengurusan pesakit CP turut memerlukan pendekatan whole-of-nation yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerana KKM hanya bertanggungjawab terhadap aspek saringan, pengesanan awal, rawatan klinikal serta rehabilitasi.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 1,076 pesakit CP didaftarkan serta menerima intervensi awal di klinik kesihatan seluruh negara bagi tempoh 2016 hingga 2025. – KOSMO! ONLINE














