KUALA LUMPUR – Sebanyak 15,401 atau 46.9 peratus daripada 32,801 unit kediaman siap dibina dan belum terjual di seluruh negara merupakan rumah berharga RM300,000 dan ke bawah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bagi suku pertama tahun ini, jumlah kediaman siap dibina yang belum terjual bernilai RM16.37 bilion.
“Walaupun hampir separuh daripada unit tidak terjual berada dalam kategori harga RM300,000 dan ke bawah, sebanyak 53.1 peratus lagi masih tertumpu dalam segmen harga melebihi RM300,000.
“Keadaan ini menunjukkan isu kediaman tidak terjual bukan hanya melibatkan rumah mampu milik, tetapi turut dipengaruhi oleh ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan dalam pelbagai segmen pasaran perumahan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Willie Anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) yang meminta kementerian menyatakan jumlah rumah mampu milik yang belum terjual dan kadar sebenar pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda bawah 35 tahun.
Aiman Athirah berkata, data khusus kadar pemilikan rumah mengikut umur, negeri dan Parlimen masih belum tersedia kerana statistik semasa yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hanya disusun mengikut kumpulan pendapatan dan lokaliti.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, kadar pemilikan rumah bagi isi rumah berpendapatan rendah dalam kumpulan Desil 1 hingga Desil 4 ialah 76.3 peratus.
Beliau berkata, KPKT kini sedang membangunkan repositori data perumahan bersepadu di peringkat nasional bagi membantu penggubalan dasar yang lebih tepat berasaskan data, termasuk untuk memahami keperluan golongan muda dan pembeli rumah pertama.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berhubung kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia, Aiman Athirah berkata kerajaan memberi keutamaan kepada golongan muda menerusi pelbagai skim pembiayaan sedia ada.
“Daripada data kelulusan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), sebanyak 75.7 peratus daripada keseluruhan kelulusan melibatkan pemohon berumur 35 tahun dan ke bawah.
“Ini membuktikan kerajaan sememangnya memberi tumpuan membantu golongan belia memiliki rumah pertama mereka,” katanya.
Beliau berkata, selain SJKP, kerajaan akan terus memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk Step-Up Financing dan dasar perumahan yang sedang dirangka bagi meningkatkan akses pemilikan rumah dalam kalangan belia.
“Kita serius dalam memastikan lebih ramai anak muda mampu memiliki rumah dan tidak ada sesiapa yang akan tercicir daripada menikmati peluang tersebut, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














