fbpx
SEMAKIN diterima di Indonesia, Malaysia tetap rumah pertama di hati Anna Jobling. – SYAKIR RADIN

Laris di Indonesia pun Malaysia sememangnya rumah saya – Anna Jobling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALAU diimbas kembali, Anna Jobling bukanlah juara pada pertandingan Dewi Remaja pada tahun 2018/2019.

Namun, rezeki dan aturan perjalanan karier seninya tampak jauh lebih menyerlah, termasuklah apabila dia berjaya membina nama dan tapak yang kukuh di negara seberang, Indonesia.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih membuktikan kerja keras pemilik nama lengkap Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu akhirnya membuahkan hasil yang lumayan menerusi lambakan naskhah yang hebat.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan, pelbagai karya bergenre romantik, seram, mahupun komedi sudah pun berjaya dilunaskan dengan baik.

Bagaimanapun, kelibat wanita berusia 26 tahun itu dilihat agak jarang atau hampir tiada langsung dalam naskhah yang berorientasikan aksi.

Menurut Anna, dia sebenarnya pernah menerima pelawaan untuk membintangi naskhah sedemikian, namun terpaksa menolaknya secara baik atas faktor komitmen masa.

Malah, dia sentiasa bersikap terbuka sekiranya diberikan tanggungjawab tersebut pada masa hadapan.

“Mungkin kalau ada pengarah dan penerbit tawarkan yang lain daripada lain, saya akan pertimbangkan.

“Ada (dapat tawaran). Cuma kena ikut jadual, kadang-kadang dapat tawaran tapi jadual tidak mengizinkan.

“Jadi, saya terpaksa berkorban. Saya okey nak buat filem aksi,” katanya membuka bicara.

Dalam masa sama, pelakon drama popular Melur Untuk Firdaus itu bersedia untuk membuktikan kemampuan fizikalnya di set penggambaran naskhah aksi walaupun ada pihak berpandangan imejnya kurang bersesuaian.

“Saya memang okey saja dan tiada masalah langsung nak buat naskhah aksi.

“Saya bersedia nak cuba benda baru walaupun ada orang cakap tak sesuai dengan saya.

“Tidak kisah apa orang nak cakap, saya akan buat apa yang saya nak lakukan,” ujarnya.

ANNA kini terlibat dalam drama terbaharu berjudul Dink! I Love You… terbitan platform UTV.

Kerjaya di Indonesia

Menyentuh perkembangan di negara seberang, Anna bakal kembali ke Indonesia selepas menyelesaikan projek di Malaysia.

“Alhamdulillah okey, cuma buat masa sekarang saya tengah sibuk menjalani penggambaran di Malaysia.

“Jadi, selepas ini saya akan ke Indonesia untuk menyambung penggambaran di sana.

“Saya pun tak nak tinggal sana lama sangat sebab banyak kerja di sini juga dan Malaysia sememangnya rumah saya. Jadi, saya kena seimbangkan karier di sini dan di Indonesia,” jelasnya.

Anna turut berkongsi keterujaan tentang penglibatannya dalam projek drama terbaharu berjudul Dink! I Love You… yang ditayangkan menerusi platform penstriman UTV.

“Saya tak pernah buat cerita tentang sukan dan sekarang Pickleball jadi sangat popular dan semua orang boleh main.

“Jadi, saya rasa ini satu cabaran untuk saya berlakon. Sebelum buat cerita ini saya main Pickleball sekali dua sahaja.

“Saya ambil sebagai cabaran dan saya anggap sebagai satu benda yang seronok untuk dilakukan,” katanya.

Selain Anna, naskhah romantik tersebut turut dibintangi Arfie Shah, Aedy Ashraf, Dottie dan Juzzthin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN