fbpx
Mohammad Shuhaili keluar dari Mahkamah Majistret Bachok selepas membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah hari ini. Foto oleh TOREK SULONG

Anggota bomba didakwa cuai pandu MPV sehingga rempuh budak 4 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Seorang anggota bomba didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merempuh seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sehingga mengalami kecederaan parah ketika memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) secara cuai semasa Hari Keluarga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada Januari lalu.

Tertuduh, Mohammad Shuhaili Shuib, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu Toyota Innova secara cuai sehingga melanggar seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan menyebabkan mangsa cedera parah di kawasan parkir sebuah chalet pada pukul 10.45 pagi, 3 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala Mohammad Shuhaili diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Habil Zainal Abidin.

Terdahulu, Muhammad Aiman mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Muhammad Habil dalam rayuannya memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam yang bertugas sebagai pembantu bomba di Pulau Pinang dengan gaji bersih kira-kira RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN