fbpx
Fadlun (tengah) ketika meninjau salah satu reruai di The Heritage Colours Festival, Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Festival Heritage Colours hidupkan semula Stesen Keretapi Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang menjadi antara mercu tanda bersejarah negara kembali dihidupkan menerusi penganjuran The Heritage Colours Festival selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Festival anjuran Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu bertujuan memperkukuh usaha pemeliharaan dan penghayatan warisan negara melalui pengaktifan semula bangunan ikonik berusia lebih satu abad itu sebagai ruang awam yang inklusif, dinamik dan mesra komuniti.

Penganjuran Jelajah Warisan KL merupakan program libat urus yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi meninjau kemajuan usaha pemuliharaan dan pengaktifan kawasan warisan sekitar stesen berkenaan.

Program siri kedua selepas penganjuran di Stadium Merdeka itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Penganjuran The Heritage Colours Festival berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Turut diserikan dengan kehadiran wakil pengurusan kanan RAC, Sekretariat Warisan KL, Jabatan Warisan Negara, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Think City serta komuniti setempat.

Peserta turut dibawa mengikuti lawatan berpandu yang mengetengahkan sejarah dan seni bina Stesen Keretapi Kuala Lumpur, selain melihat sendiri kerja-kerja pemulihan fasad yang telah disiapkan serta perancangan RAC menjadikan lokasi itu sebagai destinasi bandar yang lebih berdaya tarikan.

Sepanjang festival berlangsung, orang ramai boleh menikmati pelbagai aktiviti berteraskan seni, budaya dan warisan termasuk persembahan tarian tradisional, busker.

Selain itu tersapat jualan vendor tempatan, pertandingan mewarna, reruai kesihatan serta sesi perkongsian oleh konservator yang terlibat dalam kerja pemuliharaan bangunan tersebut.

Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti seni dan kraftangan tradisional seperti mencanting batik, anyaman bakul, gubahan crochet, permainan tradisional serta menenun songket bagi memupuk penghargaan terhadap khazanah budaya negara.

Menurut RAC, penganjuran festival itu diharap mampu mengangkat nilai sejarah, warisan dan keunikan seni bina Stesen Keretapi Kuala Lumpur, sekali gus menyokong aspirasi Warisan KL untuk menghidupkan semula warisan bandar, memperkukuh sektor pelancongan serta merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat.

Dibina pada tahun 1910, Stesen Keretapi Kuala Lumpur kekal sebagai antara bangunan warisan paling penting di Malaysia dan terkenal dengan seni bina unik serta nilai sejarahnya.

Melalui festival itu, RAC berharap orang ramai dapat mendekati sejarah, budaya dan warisan negara menerusi pengalaman yang lebih interaktif dan bermakna.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program yang berlangsung secara terbuka dan percuma bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN