GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan dua pusat operasi sindiket pertaruhan bola sepak dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026 selepas menyerbu dua kondominium di Gelugor dan Butterworth, sekali gus menahan sembilan individu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, serbuan itu dijalankan menerusi Ops Soga XI yang bermula 11 Jun hingga 19 Julai ini dengan serbuan pertama pada 26 Jun lalu di sebuah unit kondominium di Gelugor.
“Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita tempatan berusia antara 29 hingga 44 tahun. Siasatan mendapati kediaman itu dijadikan pusat operasi bagi mengurus akaun pelanggan, menyelia transaksi serta mempromosikan pertaruhan bola sepak secara dalam talian menerusi laman sesawang 137.com,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah unit kondominium di Marminton Homes, Butterworth semalam dengan lima lelaki tempatan berusia 27 hingga 41 tahun ditahan.
Katanya, sindiket terbabit dipercayai menggunakan kediaman berkenaan sebagai pusat panggilan bagi mengendalikan pertaruhan bola sepak Piala Dunia menerusi laman sesawang Nova88 termasuk mengurus akaun pelanggan, menerima pertaruhan serta memberi khidmat sokongan.
Dennis berkata, kesemua suspek kini direman sehingga 1 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan Ops Soga XI, Polis Pulau Pinang telah melakukan 21 serbuan dengan 28 individu ditahan serta merampas wang tunai RM8,935 bersama pelbagai peralatan berkaitan perjudian dalam talian. – KOSMO! ONLINE














