PETALING JAYA – Rapid KL mengesahkan bunyi letupan kecil yang berlaku pada sebuah tren di Laluan Kelana Jaya malam tadi dipercayai berpunca daripada seutas dawai halus yang tersangkut pada sistem bekalan kuasa.
Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan awal mendapati dawai halus yang bukan sebahagian daripada komponen tren atau landasan itu telah cair di lokasi kejadian selepas dipercayai tersangkut pada sistem bekalan kuasa.
Insiden itu berlaku pada pukul 7.18 malam ketika tren bernombor 57 sedang bergerak dari Stesen Taman Jaya menghala ke Putra Heights.
Menurut Rapid KL, sebagai langkah keselamatan, tren berkenaan dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan dan semua penumpang diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya terus beroperasi seperti biasa. Pemeriksaan awal oleh pasukan teknikal mendapati tiada sebarang kerosakan pada tren mahupun komponennya.
“Pada masa sama, pemeriksaan ke atas landasan antara Stesen Universiti dan Stesen Taman Jaya mendapati infrastruktur berada dalam keadaan baik dan selamat untuk operasi. Pemeriksaan terperinci turut diteruskan selepas tamat waktu operasi sebagai langkah pengesahan,” katanya hari ini.
Rapid KL berkata, pihaknya memandang serius setiap insiden yang melibatkan aspek keselamatan dan akan meneruskan siasatan lanjut di samping mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sehubungan itu, orang ramai disaran merujuk laman media sosial Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan status terkini perkhidmatan Laluan Kelana Jaya. – KOSMO! ONLINE














