KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan semakan semula Skala Bayaran Jurutera (Engineers Scale of Fees) yang tidak dikemas kini sejak 28 tahun lalu dapat dilaksanakan seawal September ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kadar baharu itu bakal diwajibkan ke atas semua Jurutera Profesional dan Firma Perunding Kejuruteraan di sektor awam serta swasta selepas diwartakan.
Menurutnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) sedang memuktamadkan semakan secara menyeluruh bagi memastikan kadar yuran perunding lebih selari dengan realiti ekonomi semasa serta kos operasi industri kejuruteraan yang semakin meningkat.
“Semakan ini penting memandangkan struktur kadar yuran sedia ada telah digunakan sejak kali terakhir diwartakan pada 7 Disember 1998, iaitu kira-kira 28 tahun lalu.
“Ia bertujuan menyesuaikan kadar yuran dengan realiti ekonomi semasa, peningkatan kos operasi firma kejuruteraan serta menyetarakan imbuhan profesional itu dengan bidang profesional binaan lain di negara ini.
“Secara prinsip, pindaan ini menukarkan struktur kadar maksimum lama di bawah peraturan sedia ada kepada penanda aras kadar minimum baharu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Yusof Abdul Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang yang meminta KKR untuk menyatakan status semakan semula yuran perunding untuk jurutera.
Ahmad Maslan berkata, berdasarkan simulasi teknikal yang dijalankan, pindaan itu dianggarkan menyaksikan penyelarasan kenaikan yuran perunding sekitar 9.23 peratus bagi projek pembangunan fizikal bernilai RM200 juta.
Katanya, ketika ini draf akhir pindaan peraturan berkenaan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan undang-undang sebelum boleh diwartakan secara rasmi di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967.
“Pematuhan mandatori ini penting bagi memelihara integriti profesion kejuruteraan, mengelakkan amalan persaingan harga yang tidak sihat serta memastikan kualiti reka bentuk dan tahap keselamatan infrastruktur yang diserahkan kepada rakyat tidak dikompromi,” katanya.
Ahmad berkata, bagi memastikan pelaksanaan yang seragam bagi projek Kerajaan Persekutuan, LJM turut mengemukakan cadangan rasmi kepada Kementerian Kewangan supaya skala yuran minimum baharu itu diselaraskan dan dikuatkuasakan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 3.2 berkaitan kos perkhidmatan perunding dan imbuhan balik.
Tegas beliau, KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan LJM juga akan memastikan struktur yuran baharu itu tidak membebankan unjuran aliran tunai projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
“Sebagai contoh, bagi projek bernilai RM200 juta, kadar yuran minimum di bawah Skala Bayaran 1998 ialah 3.25 peratus atau RM6.5 juta. Menerusi cadangan baharu, kadar minimum itu dinaikkan kepada 3.55 peratus atau RM7.1 juta, iaitu peningkatan sekitar 9.23 peratus.
“Saya kira kenaikan itu tidak akan membebankan mana-mana pihak. Selepas sekian lama menunggu, kita berharap kadar yuran baharu ini dapat dilaksanakan sekitar September ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














