fbpx
Awie (kiri) mendedahkan M. Nasir merupakan guru pertama yang menariknya masuk ke dalam kancah seni muzik 40 tahun lalu.

Nak buruk siku, ‘Istana Menanti’ patut milik saya – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Bakal berkongsi pentas dengan legenda muzik, Datuk M. Nasir pada konsert M.N47IR CIPTA 4 Sabtu ini, Datuk Awie mendedahkan individu itu merupakan guru pertama yang menariknya masuk ke dalam kancah seni 40 tahun lalu.

Bukan sahaja itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 58, memaklumkan lagu ikonik Istana Menanti gubahannya sepatutnya dirakamkan olehnya namun ‘terlepas’ ke tangan orang lain iaitu Datuk Rahim Maarof.

“Guru pertama yang mengajar saya menyanyi — inilah dia Datuk M. Nasir tahun 80-an dulu.

“Dapat kembali nyanyikan lagi yang sepatutnya saya rakam dulu Istana Menanti, memang saya teruja.

Istana Menanti ciptaan M. Nasir patutnya untuk saya nyanyi dalam filem Fenomena satu ketika dahulu,” katanya kepada Kosmo! Online pada sesi latihan konsert terbabit di sini semalam.

Kata Awie, masih basah di fikirannya bagaimana lagu malar hijau itu terlepas ke tangan orang lain dalam waktu yang singkat disebabkan M. Nasir ketika itu memang komposer yang sangat sibuk.

“Saya ingat lagi kisah ini A- Z. Waktu itu bulan puasa, M. Nasir minta saya nyanyi (di studio), beliau pergi temu bual di Utusan Malaysia.

“Balik sahaja temu bual, ada seorang penyanyi datang minta lagu itu. Dia (Rahim Maarof) kata, lagu dalam album dia takda hit. Mulanya saya tak bagi, tapi datang pula Datuk Aziz Bakar puju rayu.

Awie merupakan artis jemputan untuk konsert M.N47IR CIPTA 4  dan dan akan berpadu tenaga dengan legenda muzik, M. nasir mendendangkan lagu malar segar termasuk Ghazal Untuk Rabiah dan Istana Menanti Sabtu ini. — M. FIRDAUS M. JOHARI

“Pujuk punya pujuk, akhirnya saya akurlah. Jadi sekarang, saya buruk siku saya ambil balik lagu itu dan akan dipersembahkan dengan M. Nasir pada konsert nanti,” kata Awie.

Tanpa berselindung, Awie memaklumkan dia sangat menyukai lagu Istana Menanti dan tidak sabar mendendangkannya secara langsung di konsert nanti.

“Saya memang suka lagu itu. Kali ini, saya dapat menyanyikan kembali lagu itu bersama penciptanya,” katanya.

Sementara itu, M. Nasir berkata, keterujaannya mengadakan konsert tidak akan pernah malap selagi nyawa dikandung badan.

“Selagi ada ‘demand’, saya tak kisah buat konsert. Rasa teruja itu memang akan sentiasa ada selagi saya bekerja dalam bidang ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Konsert M.N47IR CIPTA 4 bakal berlangsung Sabtu ini (4 Julai) bertempat di Unifi Arena. Tiket masih boleh dibeli menerusi ticket2u.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN