KEMAHIRAN teknikal, ketelitian kerja dan keupayaan menyelesaikan masalah secara amali sering menjadi tunjang utama dalam dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Bagi Muhammad Anis Hussin, 33, kemahiran praktikal dalam bidang penyejukbekuan dan penyaman udara kini menjadi senjata utamanya dalam memacu kerjaya sebagai usahawan teknikal berjaya.
Dia yang merupakan bekas pelajar GiatMara Padang Besar, Perlis, membuktikan bahawa laluan pendidikan TVET mampu melahirkan modal insan yang kompeten serta mampu berdikari dalam industri tempatan tanpa perlu bergantung kepada makan gaji semata-mata.
Menurut Anis, dia memilih laluan TVET dengan langkah yang agak menarik iaitu bermula daripada sekadar mahu mencuba sesuatu yang baharu.
Minatnya terhadap bidang teknikal mula dipupuk secara serius apabila dia mengambil keputusan untuk mendaftar dalam kursus Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara di institusi latihan kemahiran tersebut selepas melihat potensi besar dalam industri berkenaan.
“Keputusan memilih aliran TVET ini pada mulanya sekadar satu kemahiran yang ingin saya cuba. Saya mahu melihat sejauh mana bidang praktikal ini boleh pergi dan adakah ia serasi dengan jiwa saya.
“Selepas menamatkan pengajian di GiatMara dan memperoleh sijil kemahiran, saya tidak terus terburu-buru membuka perniagaan sendiri. Sebaliknya, saya memilih untuk mengutip pengalaman praktikal terlebih dahulu sebagai pekerja biasa di sebuah syarikat di Kangar, Perlis,” katanya.

Di syarikat tersebut, dia memperuntuk masa selama tiga tahun untuk mengasah bakat, mendalami selok-belok industri dan memperoleh kemahiran teknikalnya di bawah bimbingan majikan serta rakan sekerja yang lebih berpengalaman.
Tempoh tiga tahun itu ternyata mengubah persepsinya dengan menjadi sebuah minat yang mendalam.
Pengalaman yang diperoleh di lapangan memberikan keyakinan tinggi untuk dia mengambil langkah yang lebih berani.
Melalui perusahaan dinamakan Fayyadh Cooling Enterprise, Anis mula mengukir nama sebagai usahawan teknikal tempatan yang berwibawa di sekitar Kedah dan Perlis.
Mengimbau detik awal penubuhannya, dia mengakui fasa bermula dari bawah adalah waktu yang menuntut kesabaran yang tinggi.
“Saya mula buat sendiri secara serius selepas tamatnya fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya bermula betul-betul dari bawah dengan hanya mengambil tugasan servis biasa dahulu demi mencari dan bina hubungan dengan pelanggan.
“Apabila tempoh masa berlalu dan keyakinan diri semakin menebal, barulah saya mula melebarkan skop perkhidmatan dengan membekalkan serta memasang set pendingin hawa baharu, melakukan kerja-kerja membaiki peti sejuk, sistem pendawaian elektrik (wiring), perpaipan air serta pemasangan pam air. Sekarang, apa sahaja tugasan teknikal yang termampu, semua saya lakukan,” jelasnya.
Katanya, pengalaman paling manis dan mencabar sepanjang bergelar juruteknik adalah ketika negara dilanda pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu. Pada waktu kritikal itu, kekangan pergerakan menyebabkan tidak ramai juruteknik yang dapat menjalankan operasi di luar.
Bagaimanapun, tuah menyebelahinya apabila dia memiliki surat pelepasan rasmi yang membolehkannya bergerak untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Masa PKP dahulu tidak ramai juruteknik yang boleh berjalan untuk membuat kerja lapangan. Sampaikan ada pelanggan yang berhadapan situasi kecemasan sanggup membayar upah dua kali ganda (double) semata-mata mahukan servis perkhidmatan saya,” katanya mengenangkan detik itu.
Berkat kecekapan mutu kerja dan sifat mesra pelanggan, Fayyadh Cooling Enterprise kini bukan lagi sebuah perniagaan ‘one-man show’.
Perniagaan yang dibina daripada bawah itu kini semakin berkembang dan sudah mampu membayar tiga orang kakitangan untuk membantunya mengurus permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Bagi perancangan masa hadapan untuk kekal relevan dalam industri, dia menekankan kepentingan untuk sentiasa mengemas kini ilmu memandangkan teknologi sistem penyejukbekuan kini semakin canggih dan memerlukan kepakaran yang dinamik.
Dalam pada itu, Anis turut menitip pesanan kepada generasi muda terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar tidak mudah mengaku kalah dengan keputusan peperiksaan yang diterima. Dia berpendapat stigma lama yang menganggap kegagalan memasuki universiti sebagai pengakhiran masa depan adalah tidak lagi relevan.
“Cuba dan terokailah bidang TVET dengan hati yang terbuka.
“Institusi seperti GiatMara menyediakan platform terbaik untuk membina masa depan. Apabila kita ada kemahiran acuan industri yang diperlukan pasaran, peluang menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan kepada orang lain dan berdikari sebenarnya sangat luas di luar sana,” ujarnya.














