fbpx
Chef Mohamad Kamil semasa salah satu kelas kulinari dengan para pelajar di Kolej Komuniti Langkawi atau dikenali sebagai Langkawi Tourism Academy, Langkawi.

Langkawi Tourism Academy lahirkan tenaga kerja industri perhotelan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIDANG bukan teknikal sering kali dianggap berada di luar daripada Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Namun, banyak kursus pengajian yang ditawarkan di seluruh negara mengajar pelbagai jenis kemahiran berkaitan bidang bukan teknikal.

Kursus bukan teknikal seperti hospitaliti juga sering dipandang berada dalam kelas kedua berbanding kursus-kursus teknikal lain.

Hakikatnya, bidang hospitaliti banyak menyumbang kepada ekonomi negara terutama di pulau peranginan seperti Langkawi, Kedah.

Di pulau itu, banyak hotel dan produk pelancongan memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang hospitaliti.

Kolej Komuniti Langkawi atau dikenali sebagai Langkawi Tourism Academy (LTA) telah bekerjasama erat dengan industri perhotelan di Langkawi bagi memastikan pelajarnya mendapat pengalaman dan ilmu secukupnya sebelum melangkah masuk ke dalam industri.

Pengarahnya, Rohana Sahak berkata, LTA juga mempunyai prasarana pembelajaran setanding universiti terkemuka tanah air dengan fasiliti lengkap seperti di lapangan sebenar.

Menurutnya, LTA turut bekerjasama dengan industri hospitaliti di Langkawi seperti rangkaian hotel lima bintang bagi penempatan pelajar untuk latihan industri.

LTA berjaya melahirkan pelajar yang mahir dan cekap dalam bidang perhotelan.

Katanya, setiap pelajar akan ditemu duga oleh wakil industri bagi menilai sama ada mereka benar-benar layak bekerja di hotel berkenaan atau tidak.

“Walaupun LTA menetapkan tempat latihan untuk pelajar, namun pihak hotel juga akan menjalankan temu duga bagi memastikan tahap kebolehan pelajar.

“Namun biasanya, pelajar tiada masalah untuk diterima menjalani latihan industri kerana mereka telah mendapat pendedahan praktikal sepanjang sesi pembelajaran,” katanya.

Tambah Rohana, kebanyakan pelajar juga akan diserap sebagai pekerja tetap selepas tamat latihan industri, sekali gus membuktikan kebolehpasaran graduan LTA.

“Konsep pembelajaran di LTA yang menggunakan 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori turut membantu pelajar lebih memahami kursus yang ditawarkan,” katanya.

Sebagai institusi kerajaan yang menawarkan program TVET sepenuhnya, LTA juga mempunyai tenaga pengajar berpengalaman termasuk dua pakar yang dilantik oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Salah seorang pakar negara dalam bidang pastri ialah Chef Rafizi Ramli yang berpengalaman selama 12 tahun dalam industri, dan mula berkhidmat dengan kolej komuniti sejak 2010.

Beliau yang berkhidmat di LTA sejak tahun lalu dilantik sebagai pakar negara pada 2018.

Jelasnya, pelajar dapat menguasai kemahiran diajar dengan lebih baik menerusi perkongsian pengalaman daripada tenaga pengajar yang pernah berkhidmat dalam industri, sebelum memasuki dunia pekerjaan sebenar.

“Apabila tenaga pengajar mempunyai pengalaman industri, konsep 70 dan 30 yang dilaksanakan di kolej komuniti lebih mudah disampaikan kerana pensyarah pernah mempraktikkan teori diajar.

“Pelajar juga biasanya lebih berminat mendengar pengalaman sebenar berbanding praktikal berasaskan teori semata-mata,” ujarnya.

Selain itu, Chef Rafizi bertanggungjawab membantu pelajar terlibat dalam pertandingan WorldSkills Championship, iaitu pertandingan yang menguji pelbagai kategori kemahiran teknikal dan vokasional di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Untuk makluman, LTA pernah melahirkan beberapa pelajar yang memenangi pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan.

Misalnya, Dhineswaran Jayakumar dalam kategori servis restoran bagi WorldSkills Malaysia 2021-2022 yang melayakkannya ke WorldSkills Special Edition 2022 di Lucerne, Switzerland.

Kejayaan itu menjadi antara bukti kemampuan LTA dalam membentuk tenaga kerja mahir dan berpengalaman.

Salah seorang Pensyarah Seni Kulinari, Chef Mohamad Kamil Azizi Jamali pula sanggup mencabar dirinya apabila menyertai WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP).

“Cabaran mental bagi pertandingan ini sangat besar kerana sebagai pensyarah, kita sepatutnya sudah mahir. Namun saya mahu mencabar diri sendiri dengan membenarkan kemahiran saya diadili oleh juri di hadapan khalayak,” jelasnya.

Ketika ini, LTA menawarkan empat program pengajian iaitu Diploma Pengurusan Hotel, Sijil Perkhidmatan Makanan dan Minuman, Sijil Seni Kulinari serta Sijil Pelancongan Rekreasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN