“BAGI saya, bidang estetik bukan tentang cantik luaran semata-mata. Ini kerana, ramai wanita hadir ke sini dengan rasa kurang yakin, stres atau sudah lama mengabaikan diri sebab sibuk bekerja dan menjaga keluarga.
“Bila saya lihat mereka kembali yakin, gembira dan menghargai diri sendiri selepas rawatan, ia menjadi satu kepuasan buat saya.”
Itu kata-kata ikhlas dan jujur daripada Pengasas Belle Clinic, Dr. Chiam Tee Kiang, 42, kepada K-Kampus tatkala ditanya secara peribadi mengenai makna estetik baginya.
Mula terlibat dalam bidang estetik sejak tahun 2013, anak jati Pulau Pinang itu mengatur langkah dengan menimba pengalaman di salah sebuah pusat estetik terkemuka di dunia selama hampir lima tahun.
Menurutnya, di situ, dia belajar mengenai teknik rawatan kecantikan dan bagaimana keyakinan diri seseorang boleh berubah dengan cara betul serta selamat.
Selepas beberapa tahun makan gaji berkhidmat sebagai doktor estetik, terdetik dalam dirinya untuk membuka klinik yang lebih dekat prinsipnya.
“Jadi, saya buka sebuah klinik yang bukan hanya untuk berniaga, malah sebuah tempat di mana pesakit rasa didengari, difahami dan dirawat secara jujur mengikut keperluan mereka.
“Saya buka Belle Clinic pada tahun 2018 supaya boleh membina satu jenama dipercayai.
“Pada masa sama, kami mengutamakan hasil yang natural serta selamat kepada setiap pesakit,” katanya.
Jadi sebelum membuka klinik sendiri, Dr. Tee Kiang mengakui, dia perlu belajar banyak perkara termasuk mengadaptasi teknologi estetik terbaharu.
“Sepanjang perjalanan dalam industri estetik, saya sangat menitikberatkan ilmu, latihan dan kemahiran profesional serta perkembangan diri secara berterusan.
“Bagi saya, dalam bidang estetik, kepercayaan pesakit datang daripada kepakaran dan kredibiliti seorang doktor.
“Antara pencapaian paling bermakna adalah apabila saya berjaya memperoleh pengiktirafan American Academy of Aesthetic Medicine (AAAM) hasil pembelajaran dari akademi estetik selama lima tahun di Amerika Syarikat pada tahun 2013.
“Pengiktirafan ini membuka banyak peluang kepada saya untuk mendalami dunia estetik secara lebih profesional dan mengikut standard antarabangsa,” katanya.
Tidak setakat itu, setahun sebelum Belle Clinic beroperasi, dia turut menerima Letter of Credentialing & Privileging of Aesthetic Medical Practice (LCP) yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ia menjadi salah satu pencapaian penting dalam kerjayanya sebagai doktor estetik.
“Saya juga aktif menghadiri pelbagai kursus, latihan kemahiran dan seminar estetik sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Daripada teknologi mesin estetik terkini sehinggalah kepada teknik rawatan moden, semua saya belajar.
“Bagi saya, pencapaian terbesar bukan sijil atau anugerah diterima, sebaliknya kepercayaan pelanggan,” katanya.
Berkongsi mengenai keunikan kliniknya, Dr. Tee Kiang berkata, Belle Clinic tidak hanya memberi fokus kepada rawatan, sebaliknya lebih menitikberatkan hasil jangka panjang, pengalaman dan sokongan secara menyeluruh kepada pesakit.
“Antara rawatan yang paling mendapat sambutan di klinik ini adalah program weight management kami.
“Ramai pelanggan tertarik untuk mencuba program ini kerana tidak bergantung kepada ubat, tetapi menggabungkan pendekatan perubatan, pemantauan dan sokongan berterusan.
“Kami menggunakan rawatan berasaskan ‘GLP-1 therapy’ yang membantu mengawal selera makan dan memberi rasa kenyang lebih lama, sekali gus membantu pelanggan mengawal pengambilan makanan dengan lebih konsisten,” katanya.
Selain program slimming, satu lagi rawatan signatur di Belle Clinic adalah ‘Eyebag E-Laser’.
Jelas Dr. Tee Kiang yang juga seorang mualaf, rawatan tersebut mendapat perhatian ramai kerana ia merupakan prosedur tanpa pembedahan, jahitan, parut dan hasilnya dapat dilihat dalam satu sesi sahaja.
Sebelum mengakhiri bicara, dia memaklumkan, proses pembelajaran dalam bidang estetik dan perubatan tidak pernah berhenti.
Ujarnya, ini kerana industri tersebut sentiasa berkembang dengan teknologi dan teknik rawatan baharu.
Dia juga percaya, seorang doktor estetik perlu sentiasa menambah ilmu dan kemahiran supaya dapat memberikan rawatan yang selamat dan berkualiti kepada pesakit.














