IPOH – Kebolehpasaran graduan politeknik mencecah 98.8 peratus selain penerapan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menarik minat ibu bapa memilih instisusi pendidikan tersebut untuk anak-anak mereka menyambung pengajian.
Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd. Daud Isa berkata, peratusan yang tinggi tersebut mendorong ramai ibu bapa memilih politeknik sebagai tempat untuk menyambung pengajian bagi anak-anak mereka selain jaminan pekerjaan pada masa depan.
“Kalau dari segi kebolehpasaran, memang kadar kebolehpasaran pelajar TVET di politeknik adalah tinggi. Tahun lepas kita dapat 98.8 peratus dan puratanya ialah 95 peratus ke atas.
“Ini menunjukkan bahawa permintaan industri dan pasaran kepada pelajar-pelajar TVET di politeknik adalah amat tinggi. Malah, pengambilan pelajar baharu baru-baru ini pun kita mendapat lebihan pelajar yang ditawarkan masuk ke politeknik,” katanya kepada pemberita di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Perasmian Penutup Persidangan Nasional Pelajar Ijazah Sarjana Muda TVET ke-6 (NCTS 2026).
Katanya, situasi itu menunjukkan kepercayaan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi TVET terutamanya di politeknik.
“Sektor yang banyak biasanya mendapat permintaan tinggi ialah hospitaliti, kulinari, kejuruteraan, teknologi dan sebagainya. Banyak sektor yang terlibat.
“Untuk TVET, politeknik sedang merangka TVET 3.0 untuk membangunkan kurikulum melibatkan AI, robotik, digitalisasi, dan teknologi hijau,” katanya.-KOSMO! ONLINE














