fbpx
PELAJAR IPT sepatutnya tidak meminggirkan bidang sastera kerana ia juga mampu menyediakan peluang pekerjaan seperti bidang lain.

Sastera Melayu tak wajar jadi pilihan terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bidang sastera khususnya Kesusasteraan Melayu masih relevan dan tidak wajar terus dianggap sebagai pilihan terakhir dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Tanggapan sedemikian dikatakan lahir daripada sistem pendidikan yang sekian lama terlalu mengutamakan bidang sains dan teknologi sekali gus menyebabkan bidang sastera sering dipandang rendah.

Malah ia sekali gus membentuk persepsi bahawa hanya pelajar yang tidak mencapai tahap tertentu sahaja akan ditempatkan dalam aliran berkenaan.

Berbicara mengenainya, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Dr. Nur Fatiha Fadila Abu Bakar memberitahu, situasi tersebut secara tidak langsung telah mengehadkan peluang pelajar cemerlang yang sebenarnya mempunyai minat mendalam terhadap sastera.

Menurutnya, pemisahan sebegitu telah mewujudkan dikotomi yang tidak sihat kerana minat pelajar terhadap sesuatu bidang tidak sepatutnya dinilai hanya berdasarkan pencapaian akademik dalam aliran tertentu.

Beliau turut berkongsi pengalaman sendiri sebagai bekas pelajar aliran sains tulen yang pernah berdepan kesukaran untuk beralih kepada bidang sastera meskipun mempunyai minat terhadap bidang tersebut.

Katanya, pengalaman itu membuktikan wujudnya persepsi bahawa pelajar yang mempunyai keputusan baik lebih sesuai berada dalam bidang sains, sedangkan minat dan potensi dalam sastera juga perlu diraikan.

“Perkara itu perlu ditangani dari peringkat sekolah supaya kita dapat memupuk semangat sukakan sastera, tidak kira pelajar itu daripada aliran sains atau bukan. Kalau dia berminat, salurkan minat itu,” katanya.

Dalam masa sama, Nur Fatiha berkata, persoalan sama ada sastera masih relevan atau tidak sebenarnya tidak wajar timbul kerana bidang itu mempunyai peranan besar dalam memanusiakan pelajar.

Jelasnya, sastera bukan sekadar bidang bacaan atau penulisan, sebaliknya membentuk kefahaman terhadap nilai budi, sejarah, linguistik, budaya, tradisi dan masyarakat.

“Sastera masih relevan kerana daripada sasteralah kita belajar tentang kebudayaan, komuniti, budaya dan tradisi kita yang tidak ada pada sains dan teknologi.

“Cuma kita kena berjalan seiring dengan teknologi. Jadi, perlu ada elemen tambah dalam pengajaran sastera yang melibatkan teknologi seperti sastera digital,” katanya.

Mengulas mengenai prospek kerjaya, beliau yang juga graduan Kesusasteraan Melayu, berkata, bidang itu mempunyai ruang lingkup luas dan tidak terhad kepada kerjaya sebagai penulis atau guru semata-mata.

Katanya, graduan sastera boleh menceburi pelbagai bidang termasuk pendidikan, terjemahan, silang budaya, pembinaan kurikulum, kewartawanan dan bidang berkaitan kebudayaan.

Beliau berkata, tanggapan bahawa graduan sastera sukar mendapat pekerjaan berpunca daripada mitos masyarakat yang terlalu mengecilkan nilai bidang tersebut.

“Kalau kita kata pelajar sastera akhirnya hanya menjadi penulis, maka kita sebenarnya telah mengongkong ruang lingkup kerjaya itu.

Banyak lagi bidang lain yang boleh diteroka kerana sastera berkaitan budaya, warisan dan masyarakat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN