SEGAMAT – Kadar pengangguran negara tahun lalu menurun kepada 2.9 peratus berbanding 3.2 peratus pada 2024, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam pasaran pekerjaan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, semalam.
Menurut beliau, penurunan kadar pengangguran itu didorong oleh usaha berterusan kerajaan memperkasakan bakat dan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Dahulu terdapat pengangguran, namun kini semakin banyak peluang pekerjaan khususnya dalam bidang teknikal hasil latihan yang disediakan institusi TVET.
“Ini membuktikan usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknikal telah membuahkan hasil,” katanya ketika merasmikan Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Peringkat Johor, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kadar kebolehpasaran graduan institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat kini mencecah 99.5 peratus, sekali gus membuktikan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran.
Tambahnya, selain institusi TVET, Kemas turut memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga mahir menerusi pelbagai kelas kemahiran termasuk jahitan, gunting rambut, masakan, dandanan, solekan dan pengkomputeran. – KOSMO! ONLINE














