fbpx
Gambar hiasan

Kadar kebolehpasaran graduan TVET cecah 95.9 peratus – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara terus menunjukkan peningkatan apabila mencapai 95.9 peratus pada tahun 2025 berbanding 95.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu membuktikan usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperkasakan agenda TVET sebagai pemacu pembangunan modal insan dan ekonomi negara.

Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah hasil komitmen bersama melibatkan pendidik, tenaga pengajar, institusi latihan, pemain industri, majikan, agensi kerajaan, sektor swasta serta rakan strategik yang menyokong pembangunan TVET.

“Pendidikan berasaskan kemahiran merupakan antara pemacu utama kepada ekonomi yang lebih berdaya saing dan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

“Peningkatan kadar kebolehpasaran graduan TVET kepada 95.9 peratus pada tahun 2025 adalah hasil kerjasama semua pihak yang percaya kepada potensi besar bidang ini,” katanya sempena sambutan Hari TVET Negara 2026 hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, Hari TVET Negara disambut sebagai manifestasi pengiktirafan terhadap peranan besar pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional dalam membina masa depan negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga TVET yang selama ini memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pemerkasaan pendidikan berasaskan kemahiran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya dari 5 hingga 7 Jun ini.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik akan disediakan termasuk pameran teknologi dan inovasi, peluang kerjaya, pertandingan kemahiran serta program interaktif yang sesuai untuk seisi keluarga.

“Insya-Allah, jumpa anda di sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN