PENGELUAR motosikal nasional, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) yang juga syarikat di bawah Kumpulan DRB-HICOM terus menyokong agenda
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam usaha melahirkan bakat tempatan dalam bidang teknikal.
Untuk itu, Modenas telah memeterai kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bumbong Lima (SMKPKBL) di Pulau Pinang melalui penyerahan manual perkhidmatan teknikal khas bagi menyokong Program TVET Servis dan Penyelenggaraan Motosikal di sekolah tersebut.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen Modenas dalam merapatkan hubungan antara pendidikan dan industri dengan melengkapkan pelajar, khususnya pelajar pendidikan khas dengan pengetahuan praktikal yang selaras dengan standard industri semasa.
Program itu memperkenalkan Modul TVET Servis dan Penyelenggaraan Motosikal (Sijil Pelajaran Malaysia) yang menawarkan pendedahan berstruktur kepada amalan industri sebenar melalui pembelajaran secara praktikal.
Menariknya, modul itu disokong oleh satu unit motosikal Modenas CT100, serta 17 manual perkhidmatan bagi pelbagai model Modenas terdahulu termasuk Kriss 110, GT 128, Karisma 125, Dominar 400 dan lain-lain.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 150 orang pelajar, di samping menyokong peluang pembelajaran yang inklusif dan relevan dengan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, melalui kerjasama tersebut, pihaknya berhasrat menyokong pembangunan bakat tempatan dengan memperkenalkan mereka kepada amalan dan standard industri sebenar.
Menurutnya, inisiatif seperti itu membantu melahirkan tenaga kerja yang bersedia untuk industri sambil memastikan tiada potensi dipinggirkan.
“Penyediaan bahan teknikal ini menjadi asas dalam membentuk kompetensi yang bersedia untuk industri dalam kalangan pelajar.
“Manual perkhidmatan teknikal ini bukan sekadar bahan rujukan biasa.

“Sebaliknya, ia menerapkan disiplin industri dengan membantu pelajar memahami sistem, mematuhi standard profesional serta membangunkan ketepatan diperlukan dalam bidang teknikal,” katanya.
Tambahnya, kompetensi itu amat penting dalam membina tenaga kerja mahir yang mampu menyokong pertumbuhan jangka panjang industri automotif Malaysia.
Kerjasama itu turut melengkapi pencapaian akademik cemerlang sekolah tersebut yang mencatatkan kadar kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pencapaian itu termasuk prestasi membanggakan pelajar berkeperluan pendidikan khas, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan pendidikan yang berstruktur dan inklusif.
Sebagai pengeluar motosikal nasional Malaysia, kepakaran industri Modenas merangkumi pelbagai segmen termasuk motosikal bawah rangka atau lebih dikenali sebagai ‘kapcai’ iaitu motosikal ringan dengan enjin kompak, skuter, motosikal berkuasa tinggi serta teknologi baharu seperti kenderaan elektrik.
Ini membolehkan syarikat tersebut menyokong inisiatif pendidikan dengan pandangan yang relevan, selaras perkembangan terkini industri.
Syarikat tersebut turut disokong oleh tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dilatih melalui kerjasama dengan rakan antarabangsa bagi memastikan pematuhan kepada standard teknikal global serta amalan terbaik.
Roslan berkata, Modenas kekal komited untuk menyokong inisiatif yang memperkukuh saluran bakat tempatan, selaras dengan keperluan industri dan keutamaan pembangunan negara.
“Inisiatif ini bukan sekadar menyokong pendidikan, ia adalah usaha membentuk individu yang mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan melangkah dengan yakin ke dalam tenaga kerja pada masa depan.
“Satu peluang sahaja boleh membawa perubahan besar. Namun secara kolektif, usaha ini membantu membentuk masa depan negara kita,” ujarnya.














