fbpx
Syed Mohd. Azizan bersama anaknya, Sharifah Ummu Shareef (tengah) yang menghidap penyakit jantung ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Chebong, Jerantut kelmarin.

Imam rayu sumbangan RM96,000 selamatkan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Seorang imam masjid merayu bantuan orang ramai untuk mengumpulkan kira-kira RM96,000 bagi membolehkan anak perempuannya menjalani pembedahan jantung kali ketiga di Institut Jantung Negara (IJN) pada Ogos ini.

Syed Mohd. Azizan Syed Ali, 53, berkata, anaknya, Sharifah Ummu Shareef, 19, memerlukan prosedur Transcatheter Pulmonary Valve Implantation menggunakan ‘VENUS P-Valve Device’ bagi menggantikan injap jantung.

Menurutnya, kos keseluruhan rawatan dianggarkan RM130,000, namun kerajaan menerusi Unit Taksiran Khas, Bahagian Kewangan, Kementerian Kesihatan (KKM) telah meluluskan subsidi sehingga RM34,244.

“Kami masih perlu mencari kira-kira RM96,000 bagi menampung baki kos rawatan supaya pembedahan itu dapat dilakukan mengikut jadual.

“Saya hanya bertugas sebagai imam masjid dan tidak mampu menyediakan jumlah yang begitu besar.

“Dengan rendah hati saya memohon bantuan orang ramai agar pembedahan anak dapat diteruskan mengikut jadual.

“Sebagai seorang bapa, saya hanya mahu melihat anak kembali sihat dan dapat meneruskan kehidupan seperti remaja lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chebong di sini kelmarin.

Menurutnya, Sharifah Ummu Shareef yang juga anak keenam daripada 10 beradik menghidap penyakit jantung kongenital sejak masih dalam kandungan.

Katanya, remaja itu pernah menjalani dua pembedahan jantung, masing-masing ketika berusia kira-kira dua tahun dan pada 2020 ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Ujian kesihatan itu turut menyebabkan anak saya terpaksa menangguhkan hasrat menyam­bung pengajian ke tingkatan enam bagi memberi laluan kepada pembedahan berkenaan.

“Doktor menasihatkan supaya pembedahan diselesaikan terlebih dahulu sebelum dia menyambung pengajian. Sebab itu dia terpaksa menangguhkan kemasukan ke tingkatan enam,” katanya.

Lebih memilukan apabila Sharifah Ummu Shareef bukan satu-satunya anak pasangan itu yang diuji dengan penyakit jantung apabila dua lagi beradiknya turut dilahirkan dengan masalah sama.

Katanya, seorang anak perem­puannya yang kini berusia 22 tahun telah menjalani pembedahan pada 2020 dan keadaannya kini stabil, manakala seorang lagi anak yang berusia 17 tahun masih menerima rawatan susulan.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh meng­hubungi talian 019-368 2017 atau 019-743 8229 atau me­nyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, 06055020241069 atas nama ibu remaja itu, Sharifah Norasiah Syalloidin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN