JITRA – Kegembiraan sekumpulan penduduk dari Segamat, Johor selepas bercuti selama tiga hari di Thailand bertukar menjadi pengalaman pahit apabila bas yang membawa mereka pulang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini semalam.
Bas tersebut ditahan dalam Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Kepala Batas, di sini kira-kira pukul 11.10 pagi.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, hasil pemeriksaan mendapati pengendali bas gagal mengemukakan Lesen Perubahan Sementara yang membenarkan penggunaan bas sekolah bagi tujuan membawa pelancong, sekali gus melanggar syarat permit ditetapkan.
“Ketika ditahan, bas yang dipandu lelaki berusia 28 tahun itu dalam perjalanan membawa pulang kira-kira 40 penumpang ke Segamat selepas melancong di Thailand.
“Bayaran sewaan bas tersebut dikatakan sebanyak RM650 berdasarkan pengakuan ketua rombongan. Pemandu mendakwa bas itu digunakan bagi menggantikan sebuah bas lain yang rosak, manakala penumpang pula memaklumkan tidak mengetahui kenderaan berkenaan melakukan sebarang kesalahan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, bas tersebut kemudian dibawa ke JPJ Alor Setar untuk tindakan sitaan, sementara semua penumpang diturunkan di Terminal Bas Shahab Perdana di Alor Setar bagi meneruskan perjalanan menggunakan pengangkutan lain.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pengusaha yang menyalahgunakan permit kenderaan serta menjejaskan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














