PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) bakal mempertaruhkan lebih ramai muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang sebagai sebahagian usaha untuk menyuntik nafas segar dalam landskap kepimpinan negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi berkata, pemilihan calon bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kini berada pada peringkat akhir.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, senarai muktamad calon BN bagi PRN Johor akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon.
“Kita akan umumkan nama calon seminggu sebelum hari penamaan calon nanti,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Katanya, pihaknya akan memastikan gabungan pemimpin sedia ada dan bakat kepimpinan baharu yang diketengahkan nanti mampu memperkukuh jentera parti serta meningkatkan keyakinan pengundi terhadap BN.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pemilihan calon akan tetap berpandukan formula dan ciri berpotensi menang (winnable), disenangi rakyat (likeable) dan diterima oleh pengundi (acceptable).
“Kita dalam perjalanan untuk mengukuhkan jentera sedia ada dan mobilisasi jentera parti dari negeri-negeri lain untuk membantu kempen di Johor nanti,” katanya.
Difahamkan, Ahmad Zahid dijangka melancarkan jentera BN bagi PRN Johor pada Ahad ini.
Pada Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ke-16. – KOSMO! ONLINE














