fbpx
ANGGOTA bomba yang terlibat bagi operasi SAR Jaslinda yang hilang di Gunung Batu Putih di Tapah sejak 24 Mei lalu. Foto JBPM Perak

Operasi SAR skala kecil Jaslinda bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) skala kecil melibatkan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak 24 Mei lalu bermula hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup semalam dan operasi berjalan pada skala kecil melibatkan bomba, malim gunung, komuniti Orang Asli setempat.

“JBPM akan membantu berdasarkan penemuan terkini serta maklumat dan situasi semasa.

“Sehingga hari ini, masih terdapat lapan orang anggota STORM JBPM Perak bersama dua orang malim gunung yang berada di lapangan di sektor pencarian dan dijangka keluar dari sektor pencarian pada petang ini.

“Balai Bomba dan Penyelamat Tapah akan bertindak mengumpul maklumat pergerakan individu atau kumpulan yang ingin terlibat dalam misi pencarian skala kecil ini dengan mendapatkan maklumat penyertaan dan melaporkan di BBP Tapah bagi tujuan kelulusan masuk kawasan Hutan Simpan Kekal oleh Jabatan Perhutanan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat dari Jabatan Perhutanan Perak kawasan pendakian Gunung Batu Putih ditutup buat sementara untuk pendakian bagi tujuan rekreasi kepada orang awam.

Media melaporkan semalam, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, seramai 116 anggota penyelamat dari pelbagai agensi termasuk polis, JBPM, Jabatan Pertahanan Awam (APM) dan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor terbabit sepanjang 11 hari operasi SAR sejak 24 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN