PETALING JAYA – Tidak mahu pening kepala berdepan pekerja yang mungkin memohon cuti sakit, seorang majikan mengambil pendekatan luar biasa dengan menutup operasi premis bagi membolehkan semua kakitangannya menonton perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026.
Perkara itu dikongsikan oleh pengguna Threads, @Hafizjoharr, menerusi tangkap layar memo yang dikeluarkan pihak pengurusan Fix & Go di Johor Bahru.
Menerusi memo tersebut, pihak pengurusan memaklumkan premis berkenaan akan ditutup pada Isnin, 20 Julai 2026 sempena aksi final kejohanan bola sepak berprestij itu yang berlangsung pada awal pagi.
“Adalah dimaklumkan bahawa premis akan ditutup pada hari Isnin, 20 Julai 2026 sempena perlawanan akhir FIFA World Cup 2026 yang berlangsung pada awal pagi,” ujarnya.
Jelas pihak pengurusan, cuti berkenaan diberikan supaya semua kakitangan berpeluang menyaksikan perlawanan tersebut dengan tenang serta mendapatkan rehat secukupnya sebelum kembali bekerja.
“Cuti ini diberikan supaya semua staf berpeluang menyaksikan perlawanan akhir tersebut dengan tenang dan dapat berehat secukupnya selepas perlawanan sebelum kembali bekerja,” katanya.
Dalam memo sama, operasi premis akan disambung semula seperti biasa pada Rabu, 22 Julai 2026.
“Pihak pengurusan Fix & Go mengucapkan selamat menikmati aksi final FIFA World Cup 2026,” katanya.
Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung pada hari Isnin, 20 Julai pukul 3 pagi waktu Malaysia bersamaan hari Ahad, 19 Julai pukul 3 petang waktu tempatan New Jersey. – KOSMO! ONLINE














