BALIK PULAU – Lelaki yang tular selepas menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pengguna jalan raya, baru-baru ini diperintahkan menjalani hukuman penjara selama sehari selain hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh lima tahun.
Tertuduh, Tan Chee Gang, 37, dikenakan hukuman tersebut setelah mengaku bersalah di hadapan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu menunjukkan isyarat lucah dan memandu dalam keadaan berbahaya.
Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bekerja sebagai pemandu lori itu didakwa melakukan perbuatan menghina dengan cara menunjukkan isyarat lucah iaitu jari tengah kepada seorang pemandu kereta berusia 59 tahun dengan niat untuk menyebabkan ketakutan kepada mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tun Dr. Awang, kira-kira pukul 11.27 pagi, 28 Mei lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, Chee Gang didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua pula, tertuduh yang masih bujang itu didakwa memandu kenderaan jenis Perodua Myvi dengan keadaan yang boleh membahayakan pengguna-pengguna jalan yang lain di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affandi Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan (YBGK).
Dalam prosiding, Ikmal memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam memandangkan kesalahan tersebut boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Majistret Huey Ting kemudiannya menetapkan denda sebanyak RM3,000 bagi kesalahan pertama dan RM5,000 untuk kesalahan kedua sekali gus memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sehari.
Selain itu, Chee Gang turut hilang kelayakan memegang atau mendapat lesen memandu selama lima tempoh tahun.
Huey Ting menjatuhi hukuman itu berdasarkan pengakuan salah dan rayuan Chee Gang bahawa dia sudahpun insaf atas kesalahan yang dilakukannya selain kepentingan awam.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki yang tular selepas didakwa menunjukkan isyarat lucah serta mengeluarkan objek dipercayai besi dalam kejadian di Jalan Tun Dr Awang di sini pada 28 Mei lalu sudahpun ditahan polis.
Menerusi video berdurasi 58 saat itu, suspek yang memandu sebuah Perodua Myvi dipercayai memotong kenderaan mangsa secara mengejut sebelum menunjukkan isyarat lucah dalam kejadian kira-kira pukul 11.27 pagi itu.- KOSMO! ONLINE














