PETALING JAYA – Perjalanan menunaikan ibadah haji sebenarnya tidak bermula apabila seseorang menerima surat tawaran atau menaiki pesawat ke Tanah Suci, sebaliknya bermula sejak hari pertama dia berniat di dalam hati untuk menjadi tetamu Allah SWT.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad dalam satu kenyataan berkata, ramai yang menganggap Arafah hanya merujuk kepada kemuncak ibadah haji di Padang Arafah, sedangkan hakikatnya perjalanan itu bermula lebih awal dengan niat yang ikhlas.
Katanya, saat seseorang berkata dalam hati bahawa dia ingin menyahut panggilan Allah SWT untuk menunaikan haji, ketika itulah bermulanya satu mujahadah untuk membentuk diri, mendidik jiwa, membina kemampuan dan membuat persediaan bagi menyempurnakan rukun Islam kelima.
“Perjalanan haji tidak bermula di lapangan terbang atau ketika menerima visa. Ia bermula dengan niat yang ikhlas, diikuti usaha yang berterusan dan disiplin yang konsisten.
“Haji bukan destinasi yang dicapai secara tiba-tiba, sebaliknya satu perjalanan yang perlu dirancang sepanjang hayat,” katanya.
Menurutnya, mesej itu menjadi asas kepada pendekatan Menuju Istito’ah yang diperkenalkan TH bagi membudayakan persediaan awal dalam kalangan umat Islam untuk menunaikan ibadah haji.
Jelasnya, persediaan tersebut bukan sekadar mengumpulkan wang, malah merangkumi aspek kesihatan, ilmu, disiplin serta kesediaan mental dan rohani agar bakal jemaah benar-benar mampu menyempurnakan ibadah apabila tiba giliran mereka.
Beliau turut mengingatkan umat Islam khususnya golongan muda supaya tidak menunggu usia meningkat atau menerima surat tawaran haji sebelum mula menyimpan wang dan menjaga kesihatan.
“Mulakan mujahadah Arafah hari ini. Mulakan dengan membuka akaun Tabung Haji, menyimpan sedikit demi sedikit, menjaga kesihatan dan menuntut ilmu kerana setiap langkah kecil itu adalah sebahagian daripada perjalanan menuju Baitullah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














