PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita menggantung sekeping nota pada pintu kenderaannya ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya meraih perhatian dan simpati ramai pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian di Facebook oleh pengguna Nor Azah Nazarudin, wanita berkenaan dilihat menjulurkan tangan keluar dari tingkap kenderaan sambil memegang nota ‘Maaf Ayah saya baru meninggal’ dipercayai bagi memohon laluan untuk melihat jenazah bapanya buat kali terakhir.
Menurut Nor Azah, kejadian itu berlaku di Kelantan ketika keadaan trafik sangat sesak namun ramai pengguna jalan raya memberikan kerjasama dengan memberi laluan kepada keluarga terbabit.
“Semoga Allah permudahkan urusan akak sekeluarga sampai ke tempat yang dituju. Jalan jem sangat. Salam takziah,” tulisnya pada hantaran tersebut.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai yang meluahkan rasa sebak serta berkongsi pengalaman hampir sama ketika kehilangan insan tersayang.
Seorang pengguna Facebook, Farizul Haikal, yang dipercayai ahli keluarga wanita berkenaan mengucapkan penghargaan kepada semua pengguna jalan raya yang membantu.
“Alhamdulillah. Semoga ayah saya tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Terima kasih semua yang memberi jalan dan mendoakan kami,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna dikenali sebagai Aida Rani mendakwa mengenali keluarga berkenaan dan memaklumkan bapa wanita berkenaan meninggal dunia secara mengejut.
“Ini cucu saudara saya. Ayahnya meninggal secara mengejut,” tulisnya.
Rata-rata netizen turut menzahirkan ucapan takziah dan memuji sikap bertimbang rasa pengguna jalan raya yang sanggup memberi laluan demi memudahkan urusan orang lain.
“Saya faham situasi akak ni sebab saya pun pernah dalam situasi yang sama juga. Sampai arwah abah dikafankan, saya tak sempat tengok dia,” komen Fatin.
“Pernah di situasi ni. Tak berada di sisi arwah mak semasa hembusan nafas yang terakhir. Rasa ralat tu sampai ke hari ini,” komen Nadiah pula. – KOSMO! ONLINE














