MEKAH – Seramai 1.7 juta jemaah haji seluruh dunia termasuk 31,600 rakyat Malaysia berada di Mina bagi meneruskan ibadah melontar jamrah pada hari Tasyrik selepas selesai berwukuf di Arafah dan bermalam di Muzdalifah.
Deretan khemah putih yang terbentang luas di lembah Mina kembali menjadi tumpuan apabila jemaah mula berkumpul untuk meneruskan ibadah melontar tiga jamrah.
Bagi jemaah Malaysia, pergerakan ke Mina dilakukan secara berperingkat dengan kebanyakan mereka tiba untuk menyempurnakan ibadah haji.
Suasana di khemah jemaah Malaysia turut dipenuhi dengan bacaan talbiah, alunan zikir dan doa selain jemaah mengambil peluang berehat selepas melalui perjalanan panjang dari Arafah dan Muzdalifah.
Walaupun berdepan cuaca panas serta keadaan sesak, jemaah dilihat terus berdisiplin mematuhi jadual pergerakan dan arahan petugas Tabung Haji (TH) sepanjang berada di Mina.
Petugas TH pula terus memainkan peranan membantu jemaah termasuk mengurus logistik, makanan, kesihatan dan pergerakan ke kompleks jamrah bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan lancar.
Bagi kebanyakan jemaah, berada di Mina menjadi antara pengalaman paling mencabar dalam ibadah haji kerana mereka perlu tinggal dalam keadaan padat selain berjalan jauh untuk melaksanakan lontaran.
Selesai ibadah melontar jemaah akan meninggalkan Mina untuk kembali ke Mekah. – KOSMO! ONLINE














