fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Jurujual ke jel, rompak telefon guna penyodok sampai mangsa patah tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah merompak telefon bimbit seorang lelaki sehingga menyebabkan mangsa patah tangan kiri, bulan lalu.

Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Firdaus Hakimi Galim, 28, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan rompak dengan mengambil sebuah telefon bimbit jenis Oppo A5i milik Mohd. Nur Amry Mohd. Nazri, 30, yang mendatangkan kerugian lebih kurang RM400 sehingga menyebabkan mangsa patah tangan kiri akibat dipukul menggunakan penyodok besi dan kayu congkak.

Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh kira-kira pukul 9.30 malam di Lorong Md. Amin, Kampung Pengkalan Lanjut, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Jun 2026.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai jurujual dan perlu menjaga bapanya yang mengalami strok sejak 12 tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izatti Abdul Mutalif bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira tindakan tertuduh turut menyebabkan kecederaan serius terhadap mangsa.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 24 Jun 2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN