fbpx
Anggota penguat kuasa mengambil tindakan terhadap pusat permainan tanpa lesen dalam operasi khas, baru-baru ini. Foto DBKL

DBKL tutup pusat permainan tanpa lesen, sita peralatan di tiga premis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup sebuah pusat permainan tanpa lesen serta menyita pelbagai peralatan dalam operasi khas membabitkan tiga premis di sekitar Lalaport Bukit Bintang, Jalan Hang Tuah di sini, Rabu lalu.

DBKL berkata, tindakan itu dilaksanakan menerusi Operasi Tindakan Khas Premis (Pusat Hiburan/Permainan) Siri 8/2026 susulan pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti pusat hiburan keluarga dan permainan tanpa lesen selain melanggar syarat lesen serta prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, sebuah pusat permainan diarahkan ditutup serta-merta manakala pelbagai peralatan di ketiga-tiga premis berkenaan disita.

“Selain itu, sebanyak enam notis kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan kesalahan tidak memiliki lesen hiburan, tidak memiliki lesen perniagaan serta menjalankan perniagaan selain dari syarat lesen sebenar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tindakan penguatkuasaan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, Kaedah-Kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1993 serta Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.

Menurut DBKL, semua barangan dan peralatan yang disita telah dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan dokumentasi serta tindakan lanjut.

Tambah kenyataan itu, pihaknya akan terus mempergiat operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi undang-undang serta syarat pelesenan yang ditetapkan.

“Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi DBKL bagi membantu usaha penguatkuasaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN