fbpx
Poster program hiburan bertemakan disko retro, hippie ala 60-an dan 70-an di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan, Jumaat lalu.

Penganjur ‘disko retro’ tepi Sungai Kelantan boleh didenda RM60,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Penganjur program hiburan bertemakan disko retro, hippie ala 60-an dan 70-an di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan di sini pada Jumaat lalu berdepan hukuman denda sehingga RM60,000.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, selain itu, pihak penganjur juga boleh dipenjara lapan tahun jika disabitkan kesalahan.

Katanya, hukuman tersebut boleh dikenakan selepas penganjur didapati menganjurkan acara tersebut tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

“Siasatan mendapati, penganjur hiburan tersebut tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada MPKB-BRI.

“Sehubungan itu, penganjur telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

“Mereka turut melanggar Seksyen 20(1)(a) enakmen sama kerana menjual tiket hiburan tanpa lesen yang sah yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hilmi memberitahu, pemilik premis itu juga boleh dikenakan kompaun selain berdepan pembatalan lesen perniagaan kerana melanggar syarat lesen di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.

Katanya, beberapa notis kompaun telah dikeluarkan kepada penganjur dan pemilik premis mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025, Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.

“Kerajaan negeri Kelantan sentiasa konsisten memastikan adab, budaya dan akhlak masyarakat khususnya generasi muda terus dipelihara.

“Kita juga bersedia membimbing pihak yang ingin menganjurkan acara hiburan supaya mematuhi semua peraturan dan garis panduan hiburan yang diterima pakai oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh Kelantan,”!ujarnya.

Semalam, tular satu video berdurasi 40 saat yang memaparkan sekumpulan pengunjung menari beramai-ramai dalam program hiburan bertemakan disko retro dan hippie dipercayai berlangsung di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan.

Susulan daripada kejadian itu, Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan bersama pasukan penguat kuasa MPKB-BRI telah menjalankan operasi dan siasatan petang tadi dengan mengambil keterangan daripada saksi termasuk pihak berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN