fbpx
Rosli mahu penjaja berniaga ikut peraturan dan undang-undang DBKL.

Penjaja makanan diminta patuh peraturan DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peniaga dan penjaja di ibu negara digesa supaya lebih berdisiplin serta mematuhi syarat lesen ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), termasuk tidak menghalang laluan awam dan menjaga tahap kebersihan premis.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung segelintir penjaja yang membina ‘extension’ gerai sehingga menutup laluan orang kurang upaya (OKU), khususnya laluan khas orang buta.

Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja melanggar syarat lesen DBKL, malah menyusahkan pengguna awam.

“Kita dapati ada dalam kalangan penjaja ini yang menggunakan kaki lima dan menutup laluan orang buta. Bila ada laluan khas itu, mereka buat sambungan gerai sampai ke belakang sehingga mengganggu laluan OKU.

“Kita bukan mahu mereka tutup kedai, tetapi mereka perlu berniaga ikut peraturan dan undang-undang DBKL. Kalau saiz gerai sudah ditetapkan, tidak perlu lagi buat extension,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rosli berkata, masalah kebersihan dalam kalangan peniaga makanan juga perlu diberi perhatian serius kerana ada premis didapati beroperasi dalam keadaan kotor selain tidak menguruskan sisa minyak dengan baik.

Katanya, tindakan membuang minyak terus ke longkang menjadi antara punca sistem perparitan tersumbat sehingga menyumbang kepada kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur.

“Kalau dulu kita sentiasa minta peniaga sediakan grease trap, tetapi sekarang banyak yang tidak dipatuhi. Bila minyak dibuang ke longkang, ia jadi keras dan menyebabkan saliran tersumbat.

“Kalau peniaga tidak ikut undang-undang, saman sahaja mereka. Saya sendiri tidak akan keluarkan surat rayuan untuk bantu peniaga yang ditangkap kerana isu kebersihan,” tegasnya.

Beliau turut meminta DBKL dan Jabatan Kesihatan memperketat pemantauan termasuk terhadap penggunaan warga asing sebagai tukang masak di premis makanan.

“Kita mahu warga kota makan makanan yang bersih dan selamat. Kalau kawasan bersih, pelanggan pun selesa datang makan. Tetapi kalau kotor, orang pun hilang selera,” katanya.

Kosmo! pada 8 April lalu melaporkan empat gerai penjaja dan sebuah restoran disita dalam operasi khas penguatkuasaan DBKL di sekitar Desa Setapak dan Taman Bunga Raya, Wangsa Maju kerana beroperasi tanpa lesen selain menghalang laluan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN