BANGKOK – Sebuah dusun durian di wilayah Chanthaburi, timur Thailand dilanda ribut musim panas baru-baru ini, menyebabkan pemiliknya kehilangan lebih 10 tan buah yang sepatutnya dituai, lapor laman berita VNExpress.
Dusun durian Ban Suan Benchamat terletak di sebuah daerah kecil di Khlung. Ia merupakan salah satu kawasan paling terjejas oleh ribut yang melanda wilayah itu Khamis lalu.
Sebuah video yang dikongsi di akaun Facebook pemiliknya, Neeranuch Keawpung menunjukkan lebih 10 batang pokok tumbang, dengan sejumlah besar buah bertaburan di seluruh dusun.
Pemiliknya berkata, lebih 10 tan durian hilang, tidak termasuk kerosakan di plot lereng bukit dan bahagian bawah ladang yang masih belum dinilai sepenuhnya.
Ribut itu berlaku ketika timur Thailand memasuki musim durian yang dijangka memuncak antara bulan ini hingga Jun.
Bagi membantu membendung kerugian akibat ribut musim panas, Menteri Pertanian dan Koperasi, Suriya Jungrungreangkit mengarahkan langkah-langkah untuk mempercepatkan sokongan kepada petani yang terjejas, menghantar pasukan ke kawasan terjejas dan memulakan usaha bantuan di seluruh negara.
Pihak berkuasa diarahkan untuk menilai dengan cepat tahap kerosakan serta menubuhkan rangkaian untuk membeli durian yang gugur yang masih boleh digunakan untuk diproses menjadi barangan seperti durian goreng dan pes. – AGENSI














