PETALING JAYA – Pelakon Syatilla Melvin berpendapat rasa berat untuk menunaikan solat sebenarnya berpunca daripada sikap gemar bertangguh, bukannya kerana ibadah tersebut sukar dilaksanakan.
Ujar Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 35, pengalaman berada di Tanah Suci membuka matanya tentang keindahan menjaga solat pada awal waktu sehingga ibadah itu terasa lebih ringan dan mendamaikan.
“Sebenarnya kita rasa solat itu beban atau susah hendak dibuat sebab kita selalu bertangguh. Apabila berada di Mekah dan Madinah, kita rasa masa sangat panjang.
“Tidak sedikit pun terasa solat itu membebankan kerana kita tunaikan pada waktunya.
“Memang setiap hari kerja kita hanya menunggu masuk waktu solat,” katanya dalam Threads.
Perkongsian tersebut mengundang perhatian ramai apabila rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan dikongsikan selain mengakui sering berdepan cabaran sama dalam mendisiplinkan diri menjaga solat pada awal waktu.
“Betul sangat. Bila kita biasakan solat awal waktu, hati jadi lebih tenang dan segala urusan terasa dipermudahkan.
“Terima kasih atas peringatan ini. Kadang-kadang bukan sibuk sangat, tetapi kita sendiri suka bertangguh.
“Semoga Allah terus istiqamahkan kita semua menjaga solat lima waktu tanpa berlengah lagi, insya-Allah,” antara komen netizen.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir netizen mengakui proses untuk istiqamah bukan mudah dan memerlukan mujahadah serta usaha berterusan agar mampu menjadikan solat sebagai keutamaan dalam kehidupan.
Difahamkan, Syatilla baru sahaja selesai menunaikan ibadah umrah bersama suaminya, pelakon Shaheizy Sam serta ahli keluarga. – KOSMO! ONLINE














