fbpx

‘Syarat lelaki nak kahwin, solat 40 hari di belakang imam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Aliff Satar berpendapat setiap bapa perlu menitikberatkan didikan agama berbanding harta benda dalam diri bakal pasangan anak perempuan mereka.

Menurut Alif, 36, pandangan tersebut dikongsi selepas mendengar cerita daripada kenalannya yang merupakan seorang ustaz ketika mahu memilih pasangan buat anak perempuannya.

“Baru-baru ini anak ustaz aku nikah, kami tanya bagaimana pilih calon suami dan nak tahu bahawa lelaki itu betul-betul ikhlas mahu berkahwin dengan anak perempuan kesayangan dia.

“Sebelum kongsi syarat, ustaz beri kami hadis dan bagus untuk kita amalkan. Dia kata, seseorang kalau dia solat lima waktu di belakang imam selama 40 hari berturut-turut, akan hilang sifat munafik.

“Kata ustaz, dia beri satu syarat kepada lelaki itu, kalau nak kahwin dengan anak perempuannya boleh tetapi perlu solat lima waktu di belakang imam selama 40 hari berturut-turut.

“Waktu di belakang imam, ambil gambar dan tunjuk yang dia ada pada waktu tersebut,” katanya dalam sebuah video.

Kongsinya lagi, lelaki itu menuruti permintaan tersebut dan melakukan dengan sepenuh hati bagi menghalalkan wanita pilihan hati.

“Budak lelaki ini bagus, dia bersungguh-sungguh nak kahwin dengan anak ustaz.

“Dia buatlah syarat tersebut, ambil foto televisyen tertulis tarikh dengan waktu, Subuh hingga Isyak selama 40 hari berturut-turut.

“Dia berjaya dan menikah dengan anak ustaz,” ujarnya.

Kata Alif, perkara tersebut bagus dijadikan panduan dan ikutan mana-mana lelaki terutama yang mempunyai anak perempuan.

“Saya rasa benda ini bagus untuk diamal dan diajar. Bukan wang tunai jadi cagaran untuk anak kita.

“Bukannya datang dan beritahu saya ada duit nak anak kau. Eh, aku pun ada duit, kau nak bimbing anak aku macam mana?” jelasnya.

Dia juga berkata, setiap bapa perlu mendidik anak perempuan agar tahu harga diri sendiri selain menjaga solat sekiranya mahu pasangan melakukan hal sama.

“Paling penting ialah sebagai bapa dan suami, perlu didik anak-anak perempuan kita untuk berdikari dan tahu nilai harga diri.

“Namun yang paling utama, sebelum kita suruh orang lain solat lima waktu 40 hari di belakang imam di masjid, pastikan kita pun sudah melakukan hal sama. Selamat berjaya,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN