TANAH MERAH – Seorang pesara tentera meninggal dunia dalam keadaan sujud ketika menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid As-Syakirin, Mukim Kelewek di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.09 pagi itu, Allahyarham Razmi Mohd. Nor, 66, tidak bangun-bangun ketika bersujud di saf pertama sebelum disedari beberapa jemaah lain.
Salah seorang jemaah Masjid As-Syakirin, Mohd. Al-Muntaqim Noor, berkata, arwah merupakan jemaah tetap masjid itu dan sentiasa hadir untuk solat berjemaah.
“Ketika jemaah sedang menunaikan solat, arwah disedari tidak bangun daripada sujud untuk meneruskan rakaat kedua. Keadaan itu menyebabkan tiga jemaah berdekatan segera membatalkan solat masing-masing bagi memberikan bantuan dan memeriksa keadaan arwah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Al Muntaqim memberitahu, arwah disahkan meninggal dunia oleh kakitangan kesihatan yang hadir ke masjid selepas solat subuh.
Jenazah Allahyarham Razmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelewek di sini kira-kira pukul 2.30 petang semalam. – KOSMO! ONLINE














