MELAKA – Pengusaha bakeri kini menjadi sasaran terbaharu scammer yang menyamar sebagai wakil institusi pendidikan untuk memperdayakan peniaga di Kota Syahbandar, di sini.
Seorang pengusaha bakeri, Lim Min Chyh, 34, berkata, dia hampir mengalami kerugian lebih RM6,000 selepas seorang individu menghubungi pekerjanya pada 20 April lalu untuk membuat tempahan 15 kotak croissant tart bernilai RM570.
Menurutnya, pada awalnya dia tidak mengesyaki apa-apa kerana semua urusan termasuk permintaan dokumen bagi sebut harga, invois dan hal berkaitan kelihatan tulen daripada pihak kerajaan.
“Pada awalnya semua nampak normal, mereka minta sebutan harga, invois dan dokumen lengkap macam urusan rasmi biasa, malah mereka juga mendakwa daripada universiti dan beri surat yang kelihatan sah.
“Tetapi kemudian mereka minta saya keluarkan duit dahulu untuk beli ‘door gift’ daripada pembekal lain dengan alasan kecemasan, jumlahnya sekitar RM6,000 dan akan dibayar semula bersama tempahan makanan,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin di Lorong Pandan di sini, hari ini.
Menurutnya, dia mula berasa curiga apabila diminta membuat bayaran pendahuluan kepada pembekal yang diperkenalkan sendiri oleh suspek.
“Saya mula syak apabila semak nombor syarikat, memang wujud tetapi jenis perniagaan tidak sama dan alamat juga berbeza.
“Bila saya hubungi pihak universiti, mereka sahkan dokumen tersebut palsu, jadi saya terus arahkan pekerja hentikan penyediaan dan tidak teruskan urusan,” ujarnya yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Tengkera, semalam.- KOSMO! ONLINE














