fbpx
Pegawai polis dilihat di sepanjang koridor sebuah sekolah di Singapura pada 19 Julai 2021. - AFP

Hukuman rotan menanti pembuli sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SINGAPURA – Pelajar lelaki yang terlibat kegiatan buli di sekolah termasuk buli siber berdepan hukuman rotan sebagai ‘jalan terakhir’ di bawah garis panduan baharu yang diperkenalkan di Singapura, lapor akhbar The Guardian.

Pelajar yang melakukan kesalahan itu berisiko menghadapi hukuman rotan sehingga tiga kali di bawah peraturan baharu yang dibincangkan di Parlimen semalam.

Kumpulan antarabangsa seperti Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF)  menentang penggunaan hukuman rotan untuk kanak-kanak.

Ia dikatakan memudaratkan kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak serta meningkatkan masalah tingkah laku dari semasa ke semasa.

Menteri Pendidikan, Desmond Lee memberitahu ahli Parlimen bahawa hukuman rotan hanya akan dikenakan jika semua langkah lain tidak mencukupi, setelah mengambil kira tahap keseriusan salah laku.

“Ia mengikuti protokol ketat untuk memastikan keselamatan pelajar. Contohnya, hukuman rotan mesti diluluskan oleh pengetua dan hanya diberikan oleh guru yang diberi kuasa,” katanya.

“Sekolah akan mempertimbangkan faktor seperti kematangan pelajar dan sama ada hukuman rotan akan membantu pelajar belajar daripada kesilapannya serta memahami tahap keseriusan perlakuannya,” tambah Desmond.

Ujarnya lagi, hukuman rotan hanya akan digunakan sebagai hukuman untuk pelajar lelaki di peringkat sekolah rendah atas (berumur 9 hingga 12 tahun) dan ke atas. Ia merujuk kepada kod prosedur jenayah negara yang melarang hukuman rotan terhadap perempuan.

“Selepas hukuman rotan dikenakan, sekolah akan memantau kesejahteraan dan kemajuan pelajar, termasuk menyediakan kaunseling,” kata Desmond.

Pelajar perempuan katanya, akan menerima hukuman seperti tahanan dan/atau penggantungan, pelarasan gred tingkah laku mereka dan akibat lain berasaskan sekolah. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN