MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang didakwa dibuli senior di sebuah rumah anak yatim di Tanjung Kling di sini Isnin lalu menerima rawatan di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada Isnin lalu dan mangsa membuat aduan pada keesokan harinya.
Katanya, susulan laporan itu, empat pelaku berusia 16 tahun yang juga penghuni pusat sama ditahan pada malam berikutnya sebelum dibebaskan dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.
“Mangsa dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan. Ibunya membuat keputusan mengeluarkan kanak-kanak itu dari rumah anak yatim tersebut.
“Murid itu (mangsa) mendaftar masuk di rumah jagaan tersebut sejak tahun 2024,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelasnya, premis jagaan di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu menempatkan 38 penghuni lelaki berusia sembilan hingga 16 tahun terdiri daripada anak yatim, separa yatim dan keluarga bermasalah.
“Bukan semua penghuni adalah anak yatim. Ada juga daripada keluarga bermasalah dan kurang berkemampuan. Kita tidak menolak kemungkinan ia berlaku disebabkan kelakuan segelintir penghuni yang mempunyai latar belakang bermasalah. Perkara ini akan diperhalusi semula termasuk kaedah kemasukan pelajar,” ujarnya.
Tambahnya, pihak Jabatan Agama Islam Melaka dan MAIM akan menjalankan siasatan lanjut termasuk peranan warden. – KOSMO! ONLINE














