fbpx
Nancy (tengah) ketika sidang akhbar khas berhubung keganasan rumah tangga di Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri kecewa mangsa keganasan tarik balik laporan sebab takut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri meluahkan kekecewaan apabila masih ramai mangsa keganasan rumah tangga bertindak menarik balik laporan polis kerana dibelenggu ketakutan.

Menurut beliau, antara faktor utama mangsa berbuat demikian adalah kerana bimbang diugut, kehilangan tempat tinggal serta tidak mempunyai sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan.

“Ada mangsa sudah buat laporan, tetapi kemudian tarik balik. Ini yang kita rasa kecewa kerana kita nak bantu mereka. Ketakutan itu turut melibatkan kebimbangan terhadap keselamatan diri dan anak-anak, selain tiada tempat bergantung selepas mengambil tindakan terhadap pasangan.

“Mereka takut diugut, takut hilang tempat tinggal dan ada yang tidak bekerja. Jadi mereka rasa tidak ada pilihan,” katanya pada sidang akhbar khas keganasan rumah tangga di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, situasi itu sekali gus menyukarkan usaha pihak kementerian untuk membantu mangsa secara menyeluruh walaupun pelbagai langkah intervensi telah dilaksanakan.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memainkan peranan penting dalam memberi bantuan segera kepada mangsa termasuk perlindungan, keperluan asas dan sokongan kebajikan.

Dalam pada itu, Nancy berkata, kementerian giat melaksanakan program perkongsian pengalaman melibatkan mangsa keganasan rumah tangga bagi memberi kesedaran dan kekuatan kepada wanita lain.

“Bila mereka dengar pengalaman mangsa lain yang pernah melalui situasi sama, mereka jadi lebih berani untuk tampil,” katanya.

Sehubungan itu, Nancy menggesa mangsa agar tidak takut untuk mendapatkan bantuan kerana pelbagai saluran telah disediakan.

“Kita ada tempat perlindungan dan bantuan. Jika sukar, hubungi talian 15999 untuk tindakan segera,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN